Tekong darat dicekup bersama 37 PATI Myanmar

26 Aug 2026 • 1:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tekong darat dicekup bersama 37 PATI Myanmar

PASIR PUTEH: Seorang tekong darat dan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk bayi berusia enam bulan dicekup sebaik sahaja mendarat dari bot di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Cina di Kota Bharu, dekat sini semalam.

Tekong warga tempatan bersama semua PATI berusia dalam lingkungan 15 tahun hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.20 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris. 

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, bot ronda pada awalnya mengesan pergerakan sebuah bot di kawasan gelap di perairan Kuala Besar.

Katanya, bot itu bagaimanapun memecut masuk ke laluan sungai yang sempit dan cetek sebelum bergerak rapat ke kawasan tebing Sungai Kelantan.

“Anggota kemudian bergegas ke tebing sungai yang berhampiran Kampung Cina dekat Kota Bharu sebelum menjumpai seramai 38 individu termasuk seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.

“Lelaki itu dipercayai berperanan sebagai tekong darat yang menunggu semua PATI itu di tebing Sungai Kelantan bersama sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.

Kamal berkata, tangkapan melibatkan 37 PATI warga Myanmar termasuk 11 wanita itu adalah jumlah paling ramai yang ditahan oleh Maritim Malaysia Kelantan dalam satu serbuan di tebing Sungai Kelantan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap tekong darat itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan mendapati, tujuh daripada PATI itu mempunyai pasport namun tiada cop kemasukan ke negara ini manakala selebihnya tiada dokumen perjalanan yang sah,” ujarnya.

Beliau berkata, tekong darat itu disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala kesemua PATI ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan sama, Kamal berkata, Maritim Malaysia Kelantan menahan seramai 106 PATI termasuk 27 wanita melibatkan tangkapan paling muda iaitu bayi berusia enam bulan hingga warga emas berusia 67 tahun sepanjang tempoh lapan bulan pada tahun ini. – UTUSAN

The post Tekong darat dicekup bersama 37 PATI Myanmar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved