
PAPAR: Sebanyak 16 projek infrastruktur di bawah Kampung Angkat Madani di Kaiduan siap dibina, memanfaatkan lebih 1,000 penduduk di Mukim Kaiduan, di sini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, RM2.5 juta diperuntukkan bagi semua projek itu, termasuk pembinaan jambatan baharu ‘Low Level Crossing’ di Sungai Ulu Kaiduan dan naik taraf jalan kampung.
Katanya, ia turut merangkumi baik pulih jalan ‘culvert’ serta kemudahan infrastruktur untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Kaiduan seperti jambatan gantung baharu, dewan serbaguna dan surau.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Selain itu, katanya, projek itu juga melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki berbukit dan menabur batu kasaran di jalan utama Kampung Moliyoun, termasuk naik taraf gereja, balai raya dan gelanggang sepak takraw baharu di Kampung Bolotikun.
“Pemasangan lampu solar juga dilaksanakan di tiga kampung di bawah Mukim Kaiduan iaitu Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikun.
“Kejayaan program ini adalah hasil sinergi di antara KPDN, Kementerian Kewangan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) DAN Pejabat Daerah Papar sebagai agensi pelaksana.
“Semua kemudahan ini dapat dimanfaat sepenuhnya seluruh penduduk. Usaha ini juga akan diteruskan, kali ini kita akan fokus kepada pembangunan sosio-ekonomi penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas merasmikan Program Kampung Angkat Madani yang turut dihadir Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim di Kampung Kaiduan, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Papar itu berkata, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap aspek pelancongan bagi mencapai aspirasi tersebut.
Katanya, mukim Kaiduan terkenal sebagai lokasi pelancongan semula jadi dan menjadi tumpuan orang luar sama ada untuk berkhemah atau menikmati alam flora bersama keluarga.
“Melalui Geran Sejati Madani, Jawatan Kuasa Kampung (JKK) Kampung Kaiduan telah menjadikan kawasan ini sebagai produk pelancongan, jadi kita akan bantu daftarkan mereka dengan kementerian pelancongan, termasuk promosi dan sebagainya,” katanya.
Armizan berkata, Program Kampung Angkat Madani adalah inisiatif kerajaan persekutuan yang dimulakan pada 2024 dengan objektif merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Menurutnya, program ini melibatkan 43 kampung di seluruh negara dan setiap kementerian perlu memilih Kampung Angkat Madani, masing-masing dengan peruntukan RM107 juta daripada kerajaan.
“Setiap kementerian dan agensi terlibat, termasuk KPDN, menerima peruntukan RM2.5 juta bagi melaksanakan projek pembangunan di kampung angkat masing-masing.
“Mukim Kaiduan dipilih sebagai Kampung Angkat Madani KPDN berdasarkan tahap liputan kemudahan asas yang masih di bawah 50 peratus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Kedah menjadi lokasi seterusnya bagi program sama tahun ini, namun pihaknya belum menentukan mukim dipilih.



