17 kawasan rekod IPU tidak sihat

LocalEnvironment
26 Aug 2026 • 9:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 17 kawasan rekod IPU tidak sihat
Pemandangan di sekitar Putrajaya kabur berikutan jarak penglihatan terjejas akibat jerebu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 kawasan di enam negeri dan dua Wilayah Persekutuan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, setakat jam 8 pagi ini.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), tiga kawasan di Sarawak mencatatkan kualiti udara tidak sihat, dengan Sri Aman merekodkan bacaan IPU tertinggi 167, diikuti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian (166) dan Samarahan (162).

Lima kawasan di Selangor turut mencatatkan bacaan melebihi 100, iaitu Johan Setia dan Shah Alam masing-masing dengan IPU 158, Klang (151), Banting (144) dan Petaling Jaya (123).

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Cheras (159) dan Batu Muda (152), manakala Nilai (162) dan Seremban (158) bagi Negeri Sembilan.

Lima lagi kawasan merekodkan tahap IPU tidak sihat ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya (159); Tangkak, Johor (153), Bukit Rambai (143) dan Alor Gajah (128) di Melaka; serta Taiping, Perak (108).

Selain itu, 49 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana, dua kawasan mencatatkan bacaan baik, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat atau berbahaya setakat pagi ini.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan rekod catatan di 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.- Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved