SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta semua institusi pendidikan di bawah naungannya menghentikan serta-merta sebarang aktiviti di luar bilik darjah di kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Arahan itu termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan berikutan situasi jerebu serta cuaca panas di luar jangkaan yang sedang melanda negara ketika ini, dengan beberapa lokasi menunjukkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, KPM sentiasa memantau dan menitikberatkan kebajikan, kesihatan serta keselamatan murid dalam menghadapi fenomena berkenaan.
"Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah berkenaan hendaklah ditutup dengan serta-merta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas penganjuran acara sukan yang sedang berlangsung di peringkat Majlis Sukan Sekolah (MSSM) dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Mohd Azam berkata, penyesuaian akan dilakukan demi keselamatan peserta.
"Lokasi pertandingan bagi acara terbabit akan diselaraskan semula ke kawasan lebih selamat atau dijalankan secara tertutup di dalam bangunan sekiranya perlu, berdasarkan bacaan IPU semasa," katanya.
Dalam pada itu, KPM menggariskan beberapa langkah pencegahan bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sentiasa terpelihara.
Antaranya, semua aktiviti luar bilik darjah hendaklah ditangguhkan jika cuaca terlalu panas dan berjerebu, manakala aktiviti luar perlu dihentikan serta-merta sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
"Sekolah juga wajib ditutup serta-merta sekiranya bacaan IPU di kawasan atau daerah melebihi 200," katanya.
KPM turut meminta pihak sekolah memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas supaya kesihatan mereka tidak terjejas.
Pada masa sama, institusi pendidikan perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi, menggalakkan murid membawa air sendiri serta membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain.
"Murid juga dinasihati dan digalakkan minum air dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.
"Selain itu, institusi pendidikan diminta sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi akibat jerebu dan cuaca panas," katanya.
KPM turut menasihati semua institusi pendidikan di bawah naungannya supaya sentiasa peka dan memantau status terkini bacaan IPU menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa.
"Institusi pendidikan juga diminta sentiasa merujuk dua dokumen rujukan utama, iaitu Surat Siaran KPM Bilangan 5 Tahun 2016: Persediaan Sekolah Berhubung Penjagaan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Murid Semasa Menghadapi Cuaca Panas dan Kering Berpanjangan, bertarikh 26 April 2016.
"Dokumen kedua ialah Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Langkah-langkah KPM bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid di Sekolah yang Berada Dalam Kawasan Jerebu yang Dianggap Kritikal, bertarikh 15 Januari 2019," katanya.
Mohd Azam menegaskan, KPM akan memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan sentiasa diberikan keutamaan dari semasa ke semasa.





