
Kota Kinabalu: Seorang pendatang tanpa izin warga Filipina berusia 61 tahun yang menggunakan kad pengenalan Penduduk Tetap (MyPR) palsu selama 18 tahun didenda RM6,000 atau dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Alex Alki mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin pada Isnin kerana memiliki kad MyPR palsu bernombor 701201-65-5373 atas namanya tanpa kebenaran yang sah. Kesalahan itu dilakukan sekitar tengah hari pada 7 Ogos di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Pegawai Pendakwa JPN Mohd Naser Mohd Nadzeri memberitahu mahkamah bahawa Alex yang berasal dari Basilan, Filipina, cuba melawat ahli keluarganya yang ditahan di Depoh Imigresen Kota Kinabalu awal hari kejadian.
Dia menyerahkan kad MyPR berkenaan di pintu utama, namun pegawai bertugas mengesyaki sesuatu kerana terdapat sesuatu tidak kena pada rupa fizikal dan ciri keselamatan kad terbabit.
Perkara itu kemudian dirujuk kepada Komander Depoh, dan pemeriksaan lanjut mengesahkan kad terbabit adalah palsu. Alex kemudiannya diserahkan kepada JPN untuk siasatan lanjut.
Proses pengesahan oleh Bahagian Kad Pengenalan JPN mendapati kad itu tidak wujud dalam rekod mereka dan cap jari Alex tidak sepadan dengan mana-mana rekod dalam pangkalan data. Dia kemudian mengaku memperoleh dokumen palsu itu di Penampang pada 2007 daripada individu yang tidak dikenali.
Semasa mitigasinya, Alex memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai isteri dan anak yang kini ditahan di fasiliti “Rumah Merah”.
Mohd Naser memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan demi kepentingan awam dan menjaga integriti sistem perundangan.
Tegasnya, penggunaan kad pengenalan palsu adalah kesalahan serius tanpa mengira tujuan dan kegagalan menjatuhkan hukuman setimpal akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat.
Mahkamah turut memerintahkan Alex dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukumannya kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berumur 28 tahun Mohd Amirul Adam didakwa atas dua pertuduhan menipu membabitkan penjualan kenderaan.
Dia didakwa menyamar sebagai dua individu berbeza iaitu Mohd Fauzi Suratno dan Mohd Rafig Izzat Ahmadin untuk memperdaya seorang lelaki, Refikado Jiemen, bagi menjual kepadanya dua kenderaan Toyota Hilux pada jam 10.30 pagi, 11 Jun di Toyota Inanam, dan pada jam 1.40 tengah hari, 23 Jun di Tempat Letak Kereta Aeropod, Kota Kinabalu.
Mohd Amirul mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 8 dan 9 Oktober untuk pengurusan kes pra-perbicaraan dan membebaskannya dengn ikat jamin RM4,000 serta dua penjamin bagi setiap pertuduhan.
Inspektor Yusdi Basri melakukan pendakwaan.
