183 pelajar di Perak ditahan terbabit jenayah sejak Januari hingga Oktober

30 Oct 2023 • 8:31 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Sebanyak 183 pelajar sekolah di negeri ini ditahan kerana terlibat dengan kes jenayah sejak Januari hingga Oktober tahun ini, berbanding 85 orang bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (gambar) berkata daripada jumlah keseluruhan membabitkan kedua-dua tahun itu, jenayah kekerasan merekodkan tangkapan tertinggi dengan 115 kes diikuti jenayah harta benda (67) dan jenayah bukan indeks (66).

“Lapan pelajar pula ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah sejak Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 11 pelajar bagi tempoh sama, tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Pencegahan Jenayah dan Meniti Kerjaya Dalam Polis Diraja Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pari hari ini.

Mengenai program pencegahan Mohd Yusri berkata ia antara platform terbaik bagi memberi kesedaran sekali gus membendung salah laku dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata program itu turut akan digerakkan ke seluruh negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Apa yang kita lakukan ini adalah satu daripada cara untuk memberi pencegahan awal kepada pelajar berkaitan jenayah kerana mereka antara golongan berisiko yang sering terdedah dengan unsur luaran,” katanya. -Bernama