189,580 peminjam PTPTN belum bayar balik, juga merupakan penerima STR

LocalPolitics
21 Nov 2024 • 3:49 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwujudkan bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa kekangan kewangan. Namun, sehingga kini, seramai 189,580 atau 45.7 peratus peminjam PTPTN masih belum membuat sebarang pembayaran balik dan merupakan penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, angka tersebut adalah sebahagian daripada keseluruhan 415,109 peminjam yang tidak pernah membayar balik pinjaman mereka sehingga 31 Ogos 2024.

“Daripada jumlah ini, 225,529 atau 54.3 peratus peminjam tidak tergolong dalam kalangan penerima STR,” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan tersebut diajukan oleh Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin mengetahui bilangan peminjam PTPTN dengan pendapatan melebihi RM3,000 tetapi tidak pernah membuat bayaran semula.

Beliau turut menjelaskan, PTPTN hanya menyimpan data peminjam berdasarkan maklumat semasa permohonan, ketika kebanyakan pemohon belum mempunyai pendapatan tetap.

Dalam konteks kawasan Jerantut, Zambry memaklumkan, terdapat 1,710 peminjam di Parlimen itu yang gagal membayar balik pinjaman dengan jumlah tunggakan mencecah RM38.17 juta.

Sumber: Sinar Harian