19 hingga 23 juta tan sisa plastik cemari ekosistem akuatik setiap tahun

LocalEnvironment
8 Jun 2026 • 3:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 19 hingga 23 juta tan sisa plastik cemari ekosistem akuatik setiap tahun
Adnan (tengah) bersama rakan strategik daripada Perhilitan, UMT dan Aquawalk merasmikan Hari Laut Sedunia di Taman Laut Pulau Redang, Terengganu pada Isnin.
Image from: 19 hingga 23 juta tan sisa plastik cemari ekosistem akuatik setiap tahun
Adnan (tengah) menunjukkan jumlah kutipan sampah termasuk sisa plastik di sekitar Pulau Redang dalam usaha kempen 'No Single-Use Plastic' yang dilancarkan Taman Laut Pulau Redang, Terengganu pada Isnin.

PULAU REDANG - Jumlah sisa plastik yang dibuang ke ekosistem akuatik setiap tahun dijangka akan terus meningkat hampir tiga kali ganda menjelang tahun 2040 sekiranya tiada tindakan berkesan bagi menanganinya.

Difahamkan, antara sisa yang kerap dibuang ialah plastik makanan ringan, botol minuman selain serpihan peralatan menangkap ikan seperti jaring pukat.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), antara 19 hingga 23 juta tan sisa plastik memasuki ekosistem akuatik setiap tahun.

Katanya, pencemaran plastik memberi kesan yang amat besar kepada hidupan marin.

"Hidupan marin berisiko terperangkap atau menelan plastik dan mikroplastik, manakala habitat penting seperti terumbu karang, kawasan rumput laut dan kawasan pembiakan hidupan marin turut terancam.

"Jabatan Perikanan (DOF) akan terus memperkukuh pengurusan Kawasan Perlindungan Marin (MPA), memperluaskan program restorasi habitat marin, meningkatkan kesedaran awam serta menggalakkan penglibatan komuniti dan sektor swasta dalam usaha konservasi sumber marin negara.

"Saya percaya kejayaan usaha pemuliharaan lautan tidak bergantung kepada dasar dan perundangan semata-mata, tetapi memerlukan perubahan sikap, amalan dan tindakan setiap lapisan masyarakat," katanya kepada pemberita di Taman Laut Pulau Redang di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu melancarkan kempen 'No Single-Use Plastic' sebagai salah satu usaha berterusan untuk menangani isu pencemaran plastik marin yang semakin membimbangkan.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Aquawalk Group Berhad, Daryl Foong dan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Zainudin Bachok.

**media[3544109]**

Tambah Adnan, kempen yang dilancarkan ini bertujuan menggalakkan masyarakat mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, memilih alternatif yang lebih mesra alam serta membudayakan amalan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab.

Kata beliau, ekosistem marin kini berdepan tekanan berterusan termasuk pencemaran plastik yang memberi kesan kepada habitat, rantaian makanan dan kelestarian sumber perikanan negara.

“Kajian saintifik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) turut menunjukkan kehadiran mikroplastik dalam ekosistem marin termasuk dalam spesies ikan komersial, sekali gus memberi petunjuk kepada peningkatan tekanan pencemaran terhadap lautan,” ujarnya.

Dalam pada itu, sempena Hari Laut Sedunia dengan tema 'Lindungi Laut, Lestarikan Perikanan' yang disambut pada 8 Jun, jelas Adnan, ini sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan lautan kepada kehidupan manusia.

"Laut bukan sahaja membekalkan sumber makanan dan menyokong ekonomi negara, malah memainkan peranan penting sebagai sistem sokongan kehidupan yang menghasilkan oksigen, mengawal iklim serta mengekalkan keseimbangan ekosistem dunia.

"Usaha melindungi dan memulihara lautan tidak boleh dipandang ringan.

"Ia memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, sektor swasta, komuniti setempat dan setiap individu yang menikmati manfaat daripada sumber marin," ujarnya.

Selain itu, kerjasama strategik DOF bersama Aquaria turut melaksanakan Program Restorasi Karang sebagai inisiatif konservasi.

"Melalui program restorasi ini, sebanyak 600 nubin karang akan ditanam sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan kawasan terumbu karang yang terjejas.

"Inisiatif ini bukan sahaja membantu mempercepatkan proses pemulihan habitat marin, malah meningkatkan daya tahan ekosistem terhadap kesan perubahan iklim dan tekanan aktiviti manusia," katanya.

Tambah beliau, sehingga tahun 2026, sebanyak 56 kawasan Taman Laut Malaysia telah diwartakan dan diuruskan bagi tujuan pemuliharaan biodiversiti marin serta perlindungan habitat kritikal.

"Pada tahun 2025 sahaja, seramai 548,598 orang pengunjung telah direkodkan mengunjungi kawasan Taman Laut Malaysia dan daripada jumlah tersebut, 64 peratus direkodkan (351,103 orang pengunjung) di kawasan Taman Laut Terengganu yang merangkumi Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.

"Statistik ini jelas menunjukkan kepentingan kawasan perlindungan marin bukan sahaja dari sudut pemuliharaan, malah sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan marin yang mampan," ujarnya.