Krisis bahan api vesel C2: Jumlah tangkapan ikan dijangka menurun sedikit, tapi stabil - DOF

LocalEnvironment
8 Jun 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis bahan api vesel C2: Jumlah tangkapan ikan dijangka menurun sedikit, tapi stabil - DOF
Adnan (tengah) ketika melaksanakan program Hari Laut Sedunia 2026 yang turut disertai Perhilitan, Aquaria dan UMT di Taman Laut Pulau Redang pada Isnin.

PULAU REDANG - Jabatan Perikanan (DOF) menjangkakan berlaku sedikit penurunan jumlah tangkapan ikan laut dalam berikutan isu bahan api diesel yang digunakan vesel kelas C2.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, daripada segi pengeluaran ikan negara, secara puratanya jumlah sekitar 1.2 juta hingga 1.4 juta tan metrik setiap tahun.

Menurutnya, jadi tahun ini atas faktor krisis bahan api dunia menyebabkan harga minyak diesel telah meningkat di pasaran dunia termasuk domestik.

"Jadi, ada nelayan-nelayan zon A, zon B dan juga zon C ini, mereka menerima subsidi minyak daripada kerajaan dan boleh beroperasi seperti biasa tanpa gangguan.

"Tetapi, vesel-vesel C2 ini mereka tidak menerima subsidi jadi menyebabkan ada vesel-vesel ini yang tidak mampu untuk beroperasi disebabkan kenaikan harga (diesel) pada ketika ini.

"Jadi, kita menjangkakan di hujung tahun akan terdapat sedikit pengurangan kerana vesel-vesel zon C2 ini tidak keluar (operasi) namun ianya boleh ditampung oleh vesel-vesel daripada zon A, B dan C dan juga sumber pengeluaran daripada subsektor akuakuktur," katanya kepada pemberita di Taman Laut Pulau Redang di sini pada Isnin.

Adnan berkata, data pendaratan ikan menunjukkan tangkapan daripada vesel C2 pada Mac lepas merekodkan sebanyak 13,300 tan metrik berbanding 16,200 tan metrik bagi tempoh sama tahun lepas, iaitu penurunan kira-kira 3,000 tan metrik.

Katanya, bagi tempoh April lalu, jumlah pendaratan ikan hanya sekitar 18,000 tan metrik berbanding 21,000 tan metrik pada April tahun lepas sekali gua menunjukkan pengurangan hampir 4,000 tan metrik.

"Setakat ini sebanyak 57 vesel C2 daripada kira-kira 400 vesel di seluruh negara, tidak termasuk Sabah, dilaporkan mengehadkan operasi mereka ke laut berikutan tekanan kos bahan api," katanya.

Beliau sebelum itu melancarkan Program Sambutan Minggu Laut Sedunia 2026 dengan kerjasama rakan strategik DOF.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Aquawalk Group Berhad, Daryl Foong dan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr Zainudin Bachok.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, bagaimanapun pihaknya percaya biar pun berlaku sedikit pengurangan tangkapan ikan, tetapi ia masih stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat.

"Kita tidak dapat pastikan bila krisis ini akan berakhir dan pengusaha vesel C2 juga memantau situasi ini.

"Kuasa operasi vesel C2 meningkat drastik kerana beroperasi lebih dari 30 batu nautika. Jadi jarak ke fishing ground lebih jauh dan kos operasi meningkat buat masa ini," ujarnya.