
PETALING JAYA: Situasi jerebu di seluruh negara semakin membimbangkan apabila 19 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 6 petang semalam.
Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), IPD Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 191, menghampiri tahap sangat tidak sihat.
Sarawak kekal negeri paling terjejas dengan lima kawasan lain turut mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Kuching (181), Samarahan (173), Sri Aman (155), Bintulu (142) dan Mukah (141).
Di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Johan Setia merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 162, diikuti Shah Alam (113), Cheras (109), Putrajaya (108) dan Kuala Selangor (108).
Sementara itu, di utara, Sungai Petani dan Alor Setar di Kedah masing-masing mencatatkan bacaan IPU 154 dan 148, manakala Minden, Pulau Pinang merekodkan 113.
Di Perak pula, tiga kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat iaitu Seri Manjung dan Tasek Ipoh masing-masing 148, selain Tanjung Malim (101).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Bukit Rambai, Melaka dengan IPU 104 dan Kota Tinggi, Johor (107).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar bangunan serta memakai penutup muka sekiranya perlu berada di kawasan terbuka. – UTUSAN
The post 19 kawasan catat IPU tidak sihat appeared first on Utusan Malaysia.





