190 doktor pakar hilang kemudahan tanpa tunai: MMA gesa BNM kawal tindakan syarikat insurans yang menyusahkan pesakit

LocalHealth & Fitness
22 Oct 2026 • 5:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

190 doktor pakar hilang kemudahan tanpa tunai: MMA gesa BNM kawal tindakan syarikat insurans yang menyusahkan pesakit Image from: 190 doktor pakar hilang kemudahan tanpa tunai: MMA gesa BNM kawal tindakan syarikat insurans yang menyusahkan pesakit liza22/10/2026 - 17:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt – Pesakit yang mempunyai insurans perubatan mungkin terpaksa membayar kos rawatan terlebih dahulu, menukar doktor atau mendapatkan rawatan di hospital lain susulan tindakan syarikat insurans menarik balik kemudahan tanpa tunai bagi kira-kira 190 doktor pakar swasta di seluruh negara.

 

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Sivanaesan Letchumanan berkata keadaan itu membimbangkan kerana pesakit yang membayar premium insurans setiap bulan mengharapkan perlindungan apabila jatuh sakit, bukannya berdepan kesukaran mendapatkan rawatan daripada pakar pilihan mereka.

 

Oleh itu, MMA menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan jumlah aduan yang diterima berkaitan sekatan kemudahan tanpa tunai, penarikan doktor daripada panel insurans dan tuntutan supaya doktor memulangkan bayaran yang telah diterima.

 

Beliau turut meminta BNM mendedahkan jumlah kes berkenaan yang berjaya diselesaikan.

 

Gesaan itu dibuat susulan isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid ketika perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

 

Kemudahan tanpa tunai membolehkan pesakit menerima rawatan tanpa perlu membayar bil yang diluluskan terlebih dahulu kerana bayaran berkenaan diselesaikan secara terus oleh syarikat insurans kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.

 

Tambahnya, pesakit tidak sepatutnya menjadi mangsa dalam pertikaian komersial antara syarikat insurans, hospital dan doktor.

 

BNM digesa wujudkan kerangka telus

Sivanaesan berkata sektor penjagaan kesihatan negara semakin dipengaruhi kepentingan komersial berbanding pertimbangan klinikal dan keperluan pesakit.

 

“Dalam kes kecemasan, kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengancam nyawa pesakit.

 

“Sehubungan itu, MMA menggesa BNM mewujudkan kerangka telus bagi mengawal keputusan syarikat insurans untuk menyekat kemudahan tanpa tunai doktor atau mengeluarkan mereka daripada panel.

 

“Kerangka berkenaan perlu mewajibkan syarikat insurans memberikan alasan bertulis berserta bukti bagi setiap keputusan, selain memberi peluang kepada doktor untuk menjawab dakwaan dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti,” katanya.

 

MMA turut meminta proses rayuan yang jelas diwujudkan bagi memastikan keputusan syarikat insurans boleh disemak secara adil.

 

Syarat setahun untuk doktor pakar baharu turut dipersoal

Sivanaesan turut membangkitkan laporan bahawa sesetengah syarikat insurans mewajibkan doktor pakar yang baru dilantik di hospital swasta berkhidmat selama setahun sebelum dibenarkan merawat pesakit yang menggunakan insurans perubatan.

 

Beliau mempersoalkan syarat itu kerana doktor pakar berkenaan telah menjalani latihan dan menerima pengiktirafan daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

“Bukan peranan syarikat insurans untuk mengetepikan pengiktirafan tersebut,” katanya.

 

Menurutnya, apabila entiti komersial menentukan doktor yang boleh merawat pesakit, hubungan antara doktor dengan pesakit boleh terjejas dan keputusan perubatan berisiko dipengaruhi pertimbangan kewangan.

 

Pertikaian bayaran dan jadual fi perubatan

MMA turut menyuarakan kebimbangan mengenai audit retrospektif dan tuntutan mendapatkan semula bayaran (clawback), iaitu tindakan syarikat insurans meminta bayaran yang telah dibuat bagi kes rawatan yang selesai dipulangkan.

 

Menurut Sivanaesan, tindakan itu boleh melibatkan isu dokumentasi, pengekodan prosedur atau urusan pentadbiran dan sering dilakukan tanpa penjelasan bertulis, bukti sokongan atau peluang yang adil untuk doktor memberikan maklum balas.

 

Beliau menggesa Kementerian Kesihatan menyemak dan mengemas kini pengekodan prosedur serta jadual fi perubatan supaya selaras dengan amalan klinikal semasa dan kemajuan teknologi, memandangkan perkara itu kerap menjadi punca pertikaian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved