KUCHING - Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran 1st Malaysian Regional Geotechnical Engineering Conference 2026 (MRGEC2026) yang berlangsung dari 17 hingga 19 Jun 2026 di The Imperial Hotel, Kuching.
Program berprestij ini merupakan inisiatif kolaborasi antara Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), JKR Malaysia, JKR Sarawak dan JKR Sabah, sebagai kesinambungan daripada persidangan dalaman yang sebelum ini dianjurkan oleh Cawangan Kejuruteraan Geoteknik, JKR Malaysia.
MRGEC2026 telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengarah Kerja Raya Sarawak, YBhg. Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy Morris, serta Timbalan Pengarah Kerja Raya Sabah, Mohammad Safri bin Abd Hadi.
Penganjuran persidangan ini berjaya menghimpunkan lebih 700 peserta yang terdiri daripada pakar profesional, ahli akademik, tenaga mahir, pemain industri dan penyelidik dalam bidang kejuruteraan geoteknikal dari seluruh Malaysia serta luar negara.
Persidangan tersebut turut melibatkan seramai 33 penceramah daripada pelbagai agensi dan organisasi, selain menampilkan 45 tapak pameran yang disertai oleh penyedia perkhidmatan, pembekal serta penggerak industri geoteknikal.
Bertemakan “Resilient Ground, Sustainable Future”, MRGEC2026 memberi tumpuan kepada empat bidang utama kejuruteraan geoteknikal, iaitu Innovation in Geotechnics and Site Investigation, Slope Stability and Landslide, Foundation serta Ground Improvement.
Topik-topik berkenaan dikupas melalui pembentangan kertas teknikal, sesi perkongsian pengetahuan dan perbincangan profesional yang dikendalikan oleh barisan pakar berpengalaman dalam bidang kejuruteraan geoteknikal.
Penganjuran MRGEC2026 bertujuan menyediakan platform bagi perkongsian inovasi, pengetahuan dan teknologi, selain memperkenalkan aplikasi teknikal moden dalam kejuruteraan geoteknikal. Usaha ini penting dalam memastikan penyelesaian terhadap isu-isu geoteknikal dapat dilaksanakan secara mampan, berkesan dan bersesuaian dengan cabaran pembangunan semasa.
Selain itu, MRGEC2026 berjaya memperkukuh kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan pemain industri dalam berkongsi pandangan serta meneroka pendekatan baharu bagi memajukan industri kejuruteraan geoteknikal.
Penganjuran persidangan ini turut membuktikan komitmen berterusan JKR dalam mempertingkatkan penggunaan penyelesaian teknikal, menggalakkan pembudayaan inovasi serta menerapkan teknologi terkini selaras dengan keperluan industri kejuruteraan semasa.Usaha berkenaan penting bagi memastikan industri kejuruteraan tempatan terus berdaya saing dan mampu menghasilkan mutu kerja yang setaraf dengan piawaian di peringkat antarabangsa.
Sebagai pengisian praktikal, para peserta turut menyertai Lawatan Teknikal ke Tapak Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat, Kuching, pada hari ketiga persidangan, 19 Jun 2026.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk menyaksikan sendiri pelaksanaan kerja-kerja kejuruteraan di tapak pembinaan, termasuk kaedah pembinaan, pengurusan teknikal dan penyelesaian geoteknikal yang digunakan bagi pembinaan struktur kritikal seperti jambatan.
Projek Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuh jaringan jalan raya dan meningkatkan kesalinghubungan, sekali gus menyokong peluasan pembangunan sosioekonomi di Sarawak.
Kejayaan penganjuran MRGEC2026 mencerminkan keupayaan JKR Sarawak dalam mengendalikan persidangan teknikal berskala besar serta memperkukuh kedudukannya sebagai sebuah organisasi yang komited terhadap kecemerlangan, inovasi dan pembangunan kejuruteraan mampan.

