
KIULU: Lebih 2,000 pengguna Jalan Kiulu-Tamparuli terjejas apabila laluan utama di KM2.45, Kampung Kionsom Lama di sini mengalami runtuhan tebing akibat hujan lebat, sejak petang Selasa.
Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, Farini Awang berkata, lokasi jalan itu terpaksa ditutup sejak jam 11 malam Selasa berikutan ruang laluan yang semakin sempit.
Katanya, laluan sementara yang masih dalam kerja pembaikkan itu ditutup demi keselamatan pengguna jalan raya serta memberi laluan kepada kerja pembaikan cerun di jalan tersebut.
“Pengguna diminta mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Pengguna juga dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif dan merancang perjalanan masing-masing sementara kerja-kerja baik pulih dijalankan,” katanya, Rabu.
Menurutnya, jalan alternatif yang boleh dilalui adalah Jalan Stesen TV Lawamandau - Kiulu, Jalan Telipok - Jalan Kampung Logkou Lama, Jalan Telipok - Jalan Kampung Bungalio dan Jalan Kauluan - Kampung Bungalio.
“Pengguna diminta menggunakan laluan alternatif bagi yang menghala ke Kiulu, Tamparuli atau Kota Kinabalu manakala sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” ujarnya.
Tinjauan wartawan di lokasi mendapati runtuhan berlaku di lokasi laluan sementara yang dibina dan sedangan dalam proses membaikpulih akibat runtuhan sebelum ini.
Beberapa kenderaan kecil juga dilihat masih degil menggunakan laluan berkenaan pada jam 7 pagi Rabu, walaupun jalan ditutup sepenuhnya dan berisiko mengalami runtuhan semula.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menggesa JKR agar mewujudkan laluan sementara segera bagi memudahkan pergerakan pengguna, tanpa menjejaskan kerja-kerja pembaikan struktur jalan yang runtuh.
“Saya memahami kesulitan yang dihadapi penduduk kiulu dan pengguna lain berikutan penutupan jalan laluan ini.
“Saya berharap laluan sementara disiapkan secepat mungkin, demi keselesaan pengguna, terutama mereka yang bekerja di luar Kiulu serta murid-murid yang perlu ke sekolah,” katanya.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar itu turut melahirkan kebimbangan terhadap impak insiden ini, terutamanya sektor pelancongan yang menjadi antara nadi ekonomi masyarakat di Kiulu.
“Kita tidak mahu sektor pelancongan Kiulu terjejas. Laluan ini penting untuk pelancong mengakses kawasan-kawasan eko-pelancongan di sini,” ujar beliau.
Menurutnya, pihak JKR dan kontraktor telah memberi jaminan bahawa mereka akan berusaha sedaya upaya untuk membina laluan sementara secepat mungkin.
Beliau berkata pertemuan berkala bersama Pengarah JKR dan Jurutera Daerah sentiasa diadakan bagi memastikan tindakan susulan terhadap pelbagai isu berkaitan kerosakan jalan sepanjang laluan utama Kiulu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sementara saya faham cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh pihak JKR kerana mereka turut berdepan masalah sama di lokasi lain, saya berharap agar penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk Kiulu,” tambah beliau.
Joniston menegaskan beliau akan terus memantau secara dekat perkembangan kerja-kerja pembaikan jalan serta memastikan semua pihak berkaitan memainkan peranan masing-masing.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam sesi libat urus terbaru bersama pihak JKR Tuaran, beliau meminta agar pemantauan lebih kerap dilakukan di sepanjang laluan utama di Kiulu.
“Ini penting supaya tanda-tanda awal tanah runtuh dapat dikesan dan tindakan awal boleh diambil bagi mengelakkan insiden lebih buruk,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Kiulu agar berhati-hati menggunakan jalan alternatif sementara menunggu kerja pembaikan siap sepenuhnya.

