2.14 Bilion e-Invois Dah Dikemukakan! Lebih 97,000 Pembayar Cukai Tampil Isytihar Cukai Tertunggak

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 11:26 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Ana SR 12

Sebanyak 2.14 bilion e-Invois telah dikemukakan oleh lebih 269,900 pembayar cukai setakat 2 November 2026, sekali gus menunjukkan perkembangan positif terhadap pelaksanaan sistem berkenaan di Malaysia.

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dalam kenyataan berkata pelaksanaan e-Invois bukan sahaja membantu memudahkan urusan percukaian, tetapi turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.

Lebih menarik, penggunaan data e-Invois turut membantu meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela apabila lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu.

“Usaha tersebut melibatkan jumlah cukai kena dibayar sebanyak RM1.68 bilion, menunjukkan bagaimana penggunaan data dan sistem digital dapat membantu memperkukuh pentadbiran percukaian negara.”

Kutipan Cukai Langsung Kasar Meningkat 5.8%

Seiring perkembangan positif itu, kutipan cukai langsung kasar bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 turut mencatatkan peningkatan sebanyak 5.8 peratus.

Menurut perkembangan terkini HASiL berkata, jumlah kutipan yang direkodkan adalah sebanyak RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan ini mencerminkan perkembangan dalam usaha memperkukuh pematuhan cukai serta meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian negara.”

HASiL Perkenal Inisiatif Inovasi Dan Integriti

Dalam perkembangan sama, komitmen HASiL terhadap budaya inovasi turut diteruskan menerusi penganjuran Anugerah Inovasi CEO HASiL 2026 yang memberi fokus kepada penghasilan Video Kreatif AI.

Sebanyak 46 penyertaan diterima bagi anugerah tersebut, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan idea dan pendekatan kreatif.

Selain itu, Dokumen Integriti HASiL turut dilancarkan sebagai usaha memperkukuh tatakelola dan tadbir urus organisasi, selaras dengan Strategi Antirasuah LHDNM (SeAL) 2026–2028.

HASiL juga menyampaikan pengiktirafan Tax Corporate Governance (TCG) kepada 13 pembayar cukai yang berjaya memenuhi keperluan serta kriteria program berkenaan.

“Pengiktirafan itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen syarikat dalam memperkukuh kawalan dalaman, mengurus risiko percukaian secara sistematik dan membudayakan pematuhan cukai secara sukarela.”

48 Agensi Kerajaan Dan Swasta Turut Sertai HII HASiL 2026

Bukan itu sahaja, Sambutan Hari Inovasi dan Integriti (HII) HASiL 2026 turut mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan penyertaan tertinggi dalam penganjuran Kaunter Perkhidmatan Agensi Luar.

Sebanyak 48 agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam program yang berlangsung pada 2 hingga 3 November 2026.

Menerusi kemudahan ini, warga HASiL berpeluang mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta pelbagai perkhidmatan secara langsung daripada agensi terlibat di satu lokasi.

Secara keseluruhannya, perkembangan ini memperlihatkan usaha berterusan HASiL dalam memperkukuh sistem percukaian negara menerusi pendigitalan, inovasi dan integriti, selain menggalakkan budaya pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan rakyat dan syarikat.

Sumber: Siaran Media Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL)

 

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved