2,500 ayam 90 sen 'licin' dalam 30 minit

LocalSales & Promo
6 Apr 2026 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara pelanggan yang datang untuk mendapatkan ayam 90 sen seekor yang dijual di sebuah premis di Merbau Patah, Kuala Terengganu, pada Isnin.
image is not available
Sebanyak 2,500 ekor ayam pada harga 90 sen seekor habis dijual dalam tempoh 30 minit di sebuah premis di Merbau Patah, Kuala Terengganu, pada Isnin.
image is not available
Sebanyak 2,500 ekor ayam pada harga 90 sen seekor habis dijual dalam tempoh 30 minit di sebuah premis di Merbau Patah, Kuala Terengganu, pada Isnin.

KUALA TERENGGANU – Lebih 2,500 ekor ayam segar dijual pada harga 90 sen seekor 'licin' dalam tempoh 30 minit di sebuah premis di Merbau Patah, di sini, pada Isnin.

​Jualan murah itu mencetuskan fenomena apabila orang ramai sanggup beratur panjang seawal pagi demi merebut peluang mendapatkan bekalan pada harga jauh lebih rendah berbanding pasaran semasa.

​Pemilik premis, Mohd Sulaimi Hassan, 58, berkata, inisiatif julung kali itu dilaksanakan sebagai tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan beban masyarakat yang kini berdepan peningkatan kos sara hidup.

**media[3483345]**

​"Saya sudah berniaga selama 13 tahun dan pelbagai cara telah dilakukan sebelum ini, tapi jualan hari ini khusus untuk membantu mereka yang terkesan dengan harga ayam yang masih tinggi.

"Walaupun kami tidak meraih keuntungan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu pelanggan yang memerlukan. Saya lihat ini sebagai platform untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai," katanya ketika ditemui di sini.

​Mohd Sulaimi yang mempunyai 13 cawangan di sekitar Terengganu mengakui sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan pihaknya.

​Ujar beliau, situasi tersebut membuktikan permintaan terhadap barangan asas kekal tinggi, terutama apabila ditawarkan pada harga mampu milik dalam keadaan ekonomi mencabar.

**media[3483348]**

​"Kami akan mempertimbangkan untuk mengadakan pelbagai lagi inisiatif lain pada masa akan datang sebagai usaha berterusan membantu pelanggan," katanya.

​Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Suhaimi Husin, 49, berkata, dia sanggup menunggu selepas Subuh bagi memastikan tidak terlepas peluang keemasan itu.

"Walaupun hanya dapat membeli dua ekor ayam, ia sangat membantu. Ayam ini boleh dimasak untuk dua hari, sekurang-kurangnya dapatlah kami sekeluarga berjimat," katanya.

​Nada sama dikongsi Muhammad Ali Mustam, 45, dari Batu Buruk yang hadir bersama isteri untuk mendapatkan stok mingguan selepas menghantar anak ke sekolah.

"Kami tahu ramai yang beratur tetapi tetap mahu mencuba nasib.

"Anak-anak di rumah memang suka makan ayam hampir setiap hari, jadi apabila ada jualan semurah ini, memang kami tidak akan lepaskan peluang," katanya.