2,500 renjer komuniti digerakkan lindungi hidupan liar

LocalEnvironment
24 Jul 2026 • 5:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 2,500 renjer komuniti digerakkan lindungi hidupan liar

ALOR GAJAH – Kerajaan menyasarkan seramai 2,500 renjer komuniti digerakkan di seluruh negara tahun ini bagi memperkukuh rondaan penguatkuasaan dalam membanteras pemburuan haram serta melindungi habitat hidupan liar.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang menjadi antara inisiatif utama kerajaan bagi memastikan kehadiran anggota penguat kuasa secara berterusan di kawasan habitat hidupan liar.

Katanya, BP3 yang diperkenalkan sejak 2019 merangkumi dua komponen utama iaitu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan pelantikan renjer komuniti bagi mengekang ancaman pemburuan haram.

“Pada tahun ini kita telah menetapkan sasaran seramai 2,500 renjer komuniti di seluruh negara.

“Hasil daripada usaha itu, kita melihat kes penangkapan dan sitaan semakin meningkat, sekali gus menjadi penghalang kepada kegiatan haram yang mengancam hidupan liar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 di Safari Wonderland, A’Famosa Resort di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga Julai lalu, rondaan di bawah BP3 berjaya meliputi 60 peratus habitat utama hidupan liar di Semenanjung Malaysia melibatkan kawasan hampir 20,000 kilometer persegi, sekali gus mengukuhkan kawalan di kawasan berisiko tinggi.

Arthur berkata, sepanjang tahun ini sebanyak tujuh siri Operasi Bersepadu Khazanah telah dilaksanakan dengan hasil yang memberangsangkan apabila 29 jerat dimusnahkan, 47 khemah dikesan, selain menemui 185 kesan aktiviti pemburuan haram dan 151 kesan pencerobohan manusia di kawasan operasi.

Katanya, sehingga Julai 2026, operasi itu turut merekodkan 56 kes tangkapan membabitkan 70 individu, terdiri daripada 43 warga tempatan dan 24 warga asing, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4.2 juta.- KOSMO! ONLINE

The post 2,500 renjer komuniti digerakkan lindungi hidupan liar appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved