KUALA LUMPUR - Dua beradik perempuan maut, selepas rumah yang mereka diami terbakar dalam tragedi di Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru, Isnin lalu.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Huang Yujie, 15, dan adiknya, Huang Yuning, 13.
Menurut laporan China Press, kebakaran berlaku ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah, menyebabkan jiran tetangga bergegas membantu mengawal kebakaran dan cuba mereka yang terperangkap.
Penduduk setempat berkata, kebakaran dipercayai bermula di tingkat bawah sebelum merebak dengan cepat ke seluruh rumah, sekali gus menyekat laluan keluar untuk menyelamatkan diri.
Seorang jiran memberitahu, bahang api yang terlalu kuat menghalang pasukan penyelamat daripada sampai ke tingkat atas tepat pada masanya.

Seorang lagi jiran yang tinggal di belakang rumah mangsa terdengar salah seorang daripada mereka menjerit meminta tolong, keduanya gagal melepaskan diri disebabkan tingkap rumah yang dipasang jeriji besi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor berkata, pasukan kecemasan dari balai bomba Johor Jaya, Tebrau, dan Kempas telah dikerahkan ke lokasi kejadian, dengan kekuatan 14 anggota bomba, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dan sebuah kenderaan utiliti.
Anggota bomba akhirnya berjaya mengawal keadaan, namun kira-kira 60 peratus daripada rumah tersebut telah musnah.
Menurut jurucakap itu, dua beradik malang terbabit ditemui di dalam sebuah bilik di tingkat atas kediaman berkenaan.
“Mereka segera dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.
Tragedi tersebut meninggalkan kesan mendalam dan mengejutkan saudara-mara, rakan-rakan, serta jiran tetangga.
Seorang rakan rapat ibu mangsa memberitahu, pasangan suami isteri berkenaan sangat terkesan dengan kehilangan anak-anak mereka.
Sementara itu, abang sulung mangsa berkata, dia sedang menuntut di Kuala Lumpur dan dalam perjalanan pulang ke Johor setelah menerima berita mengenai tragedi tersebut.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca sebenar kebakaran, dan siasatan masih dijalankan.
Mayat kedua-dua mangsa masih berada di hospital sementara menunggu proses bedah siasat, manakala urusan pengebumian dijangka dijalankan esok. - Getaran, 3 Jun 2026






