2 Hotel Mampu Inap Di Jakarta, Dekat Tempat Makan Dan Beli-Belah

TravelFood
27 Jun 2024 • 2:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Lobi Hotel Ashley Tang Menteng

Perkongsian tentang hidangan Indonesia yang sentiasa diburu dan dirindui oleh rakyat Malaysia pada minggu lalu mungkin membuatkan ada di antara anda yang sudah membeli tiket penerbangan ke sana.

Jika Jakarta menjadi pilihan, eloklah cari hotel yang lokasinya terletak di pusat tumpuan makanan untuk memastikan tujuan anda ke sini terlaksana. Mahu beli-belah juga? Mengapa tidak, alang-alang sudah sampai ke sini, ambillah kesempatan yang ada.

Berikut adalah dua pilhan hotel yang berbaloi untuk dicuba. Satu terletak di Menteng, destinasi kulinari yang popular sejak sekian lama. Terdapat banyak pilihan tempat makan sedap di Menteng yang boleh disesuaikan dengan bajet anda. 

Sementara satu lagi hotel terletak di Tanah Abang, lokasi kegemaran mereka yang suka membeli-belah di kota besar ini. Namun, ia juga tidak jauh dengan kawasan Menteng, kurang 10 minit masa memandu jika trafik tidak sesak. 

Ashley Tang Menteng

Dibuka pada November 2022 , hotel ini sempurna untuk pencinta ‘street food’ kerana ia berada di ‘Jalan Kulinari Sabang’. Kalau anda penggemar nasi padang, Restoran Garuda dan Rumah Makan Sederhana terletak hanya beberapa meter  dari hotel. Begitu juga dengan pilihan menu jalanan seperti nasi goreng gila, sate kambing, nasi goreng kambing dan banyak lagi.

image is not available
Deretan kedai dan restoran di hadapan Ashley Tang Menteng. – Gambar Rahayu MN

Ashley Tang punya pesona tersendiri, di mana ia menampilkan konsep Shanghai China yang ceria dan berwarna-warni. Ketika ia mula dibuka dahulu, ramai pempengaruh media sosial yang berburu ke sini untuk memotret foto mereka di sudut-sudut menarik. 

image is not available

Terdapat lima jenis bilik yang boleh dijadikan pilihan iaitu Superior Queen, Deluxe View Queen, Deluxe View Twin, Deluxe Triple Room dan Executive Twin. Jadi terpulang kepada anda untuk membuat pilihan. Bergantung kepada bajet. Ini kerana setiap bilik punya keluasan berbeza. 

image is not available
Antara bilik yang ditawarkan di Ashley Tang Menteng

Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan skin televisyen pintar, pembesar suara bluetooth JBL, penghawa dingin dan tidak ketinggalan saluran penstriman, Netflix. Selain itu, anda juga boleh menggunakan ‘laundry room’ layan diri yang tersedia di lobi. 

Terdapat sebuah restoran Cina, untuk kemudahan tetamu menikmati sarapan pagi, makan tengahari dan malam.  Menampilkan suasana elegan dan santai, Tong House menyajikan pelbagai hidangan kegemaran tradisional dan moden oleh cef berpengalaman.  

image is not available

Untuk maklumat lanjut tentang Ashley Tang Menteng, boleh layari laman web mereka di sini.

Ashley Tanah Abang

image is not available

Dibina secara kontemporari dengan suasana yang menghijau dan tenang, Ashley Tanah Abang sebenarnya menyasarkan tetamu kelas perniagaan memandangkan kedudukannya yang juga berada di tengah-tengah kota Jakarta. 

Namun, ia juga adalah ‘syurga’ untuk mereka yang gemar membeli-belah.  Komplek Beli-Belah Tanah Abang hanya beberapa meter dari lobi hotel. Jadi, tak perlulah ambil teksi atau tempah Grab, hanya jalan kaki ke sana dan berbelanjalah sepuas hati. 

image is not available
Lobi Ashley Tanah Abang

Bahkan, Ashley Tanah Abang juga menjanjikan ‘Pengalaman Tidur Terbaik’ di mana setiap bilik menggunakan peralatan tempat tidur premium dengan King Koil dan linen mewah untuk tidur malam yang lena.

image is not available
Bilik Deluxe Double di Ashley Tanah Abang

Berbeza dengan Ashley Tang Menteng, Ashley Tanah Abang menawarkan lapan jenis bilik kerana mempunyai kapasiti yang lebih besar. Antara bilik yang tersedia ialah Superior Twin, Deluxe Double, Family Room dan Ashley Room yang tampil lebih mewah. Hotel empat bintang ini turut dilengkapi dengan pusat kecergasan dan kolam renang. 

image is not available
Kolam renang di Ashley Tanah Abang

Antara tarikan popular lain yang berdekatan ialah, pusat beli-belah Sarinah, Grand Indonesia, Monumen Selamat Datang, dan Jakarta Textile Museum. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web hotel ini di sini. – Getaran, 27 Jun, 2024

Foto: Rahayu MN, Ashley Tanah Abang