
SIMUNJAN - Dua kanak-kanak maut manakala seorang wanita cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori dari arah belakang di Jalan Batang Lupar-Sadong, berhampiran Masjid Kampung Sungai Ladong, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.35 pagi itu, mangsa yang maut terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala wanita berkenaan mengalami kecederaan patah tulang paha.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 pagi.
Menurutnya, pasukan operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Christopher Anak Tungoh tiba di tempat kejadian pada jam 12.06 tengah hari, dengan jarak lokasi kira-kira 26 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, komander operasi mendapati kemalangan membabitkan tiga individu yang menaiki sebuah motosikal dan dipercayai dirempuh sebuah lori dari arah belakang.
“Seorang kanak-kanak lelaki didapati terperangkap di bawah lori selepas digilis, manakala seorang lagi kanak-kanak perempuan tercampak ke atas jalan raya.
“Kedua-dua kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, wanita yang cedera diberikan rawatan awal sebelum ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Simunjan untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat berjaya dikawal pada jam 12.17 tengah hari, sebelum anggota bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan serpihan di atas jalan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.18 tengah hari. - Getaran, 24 November 2026






