
BANGKOK – Polis melancarkan operasi besar-besaran untuk memburu seorang suspek bersenjata selepas dua pegawai penyiasat polis terbunuh, manakala tiga lagi cedera dalam pertempuran di di daerah Tak Bai, wilayah Narathiwat semalam, lapor akhbar Bangkok Post.
Pihak berkuasa tempatan berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 11.48 pagi (waktu tempatan) di sebuah pondok di Ban Bueng Chalam, mukim Phrai Wan.
Pegawai penyiasat dari Balai Polis Tak Bai sedang melakukan pemeriksaan berhubung kes dadah apabila sekurang-kurangnya seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan menggunakan raifal M16.
Dua pegawai polis terbunuh, manakala tiga lagi cedera dalam pertempuran yang tercetus.
Anggota terkorban dikenali sebagai Sarjan Humran Ha yang terkena beberapa das tembakan di dada dan badan dan Sarjan Kanan (Polis) Witthaya Chaipromkaew. Witthaya maut ditembak ketika mengejar suspek di atas jambatan berhampiran pondok berkenaan.
Suspek melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit bersebelahan dan masih bebas.
Polis menemukan sekurang-kurangnya 10 kelongsong peluru M16 di tiga lokasi berbeza di sekitar pondok dan ladang tersebut.
Tiga lelaki lain yang dipercayai menetap di pondok itu telah ditahan untuk isoal siasat bagi mengenal pasti sama ada mereka mempunyai kaitan dengan penembak. – AGENSI
The post 2 polis maut, 3 cedera ditembak di Tak Bai appeared first on Kosmo Digital.






