
KUALA NERANG – Seorang wanita maut manakala anak lelakinya cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki melanggar penghadang besi di Kilometer 8 Jalan Batu Pengasah, Durian Burung di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya berusia 21 tahun yang merupakan pemandu kenderaan pula cedera pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd. Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 7.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Toyota Avanza berkenaan bergerak dari arah Kuala Nerang menghala ke Durian Burung.
“MPV itu kemudian dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar penghadang besi,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, akibat kemalangan itu, penumpang yang tersepit di tempat duduk hadapan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu maut, anak cedera Toyota Avanza terbabas langgar penghadang jalan appeared first on Kosmo Digital.






![[KEMASKINI] Empat maut, seorang cedera Ford Raptor dihempap pokok tumbang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/Untitled-design-2026-08-03T162813.346.png)