
PETALING JAYA – MK Curtain, jenama tempatan yang telah berada di pasaran lebih 21 tahun dalam industri dekorasi kediaman, telah menerima kunjungan 20 ahli Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati) ke ibu pejabat, bilik pameran dan kilang jahitan MK Curtain di Nilai, Negeri Sembilan.
Kunjungan yang disertai Timbalan Presiden 1 & 2 Peniagawati, Nida Hamid dan Dr. Latifah Ghazali itu telah menjadi platform untuk para peserta mengenali dengan lebih dekat perjalanan serta perkembangan MK Curtain, rangkaian produk yang ditawarkan dan proses kerja di sebalik penghasilan produk.
Sepanjang lawatan, para peserta berpeluang meninjau bilik pameran MK Curtain dan melihat sendiri pelbagai produk yang ditawarkan, merangkumi langsir, bidai, wallpaper, flooring, tinted, aksesori dan kelengkapan dekorasi kediaman.
Mereka turut mengikuti sesi perkongsian bertajuk “Tip Memilih Langsir dan Hiasan Dalaman Mengikut Konsep Kediaman”, yang memberikan panduan mengenai pemilihan fabrik, warna dan rekaan berdasarkan konsep ruang, pencahayaan, keperluan serta bajet pelanggan.
Lawatan kemudiannya diteruskan ke kilang jahitan MK Curtain bagi memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai proses penghasilan langsir, daripada pemilihan bahan dan proses jahitan sehingga peringkat pemeriksaan kualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif MK Curtain, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shabuddin berkata, kunjungan tersebut menjadi satu platform untuk syarikat berkongsi pengalaman membangunkan dan mengembangkan sebuah jenama tempatan bersama komuniti usahawan dan profesional.
“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan Peniagawati ke MKCurtain. Kunjungan ini bukan sekadar lawatan ke bilik pameran, tetapi memberikan peluang kepada kami untuk berkongsi perjalanan, pengalaman dan perkembangan MK Curtain sepanjang lebih dua dekad dalam industri.
“MK Curtain bermula sebagai sebuah perniagaan yang sinonim dengan langsir dan kini berkembang sebagai jenama yang menawarkan pelbagai penyelesaian dekorasi kediaman.
“Perkembangan ini didorong oleh usaha berterusan untuk memahami keperluan pelanggan serta menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih lengkap,” katanya.
Selain itu, tambah Syed Kamarulzaman, pendekatan tersebut adalah antara usaha MK Curtain untuk membina hubungan yang lebih dekat dengan masyarakat dan pelbagai organisasi, di samping membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan, jaringan perniagaan dan potensi kerjasama.
“Kami percaya hubungan yang kukuh bermula apabila sesebuah organisasi dapat mengenali operasi, produk dan nilai yang dibawa oleh sesuatu jenama dengan lebih dekat.
“Melalui program lawatan ini, kami bukan sahaja mahu memperkenalkan MK Curtain, tetapi juga membuka ruang untuk perkongsian pengetahuan, jaringan perniagaan serta peluang kerjasama jangka panjang bersama pelbagai organisasi dan komuniti.
“Kami mengalu-alukan NGO, persatuan, koperasi, organisasi korporat, institusi pendidikan dan kumpulan profesional untuk berkunjung ke showroom kami di Nilai.
“Kami percaya pertemuan secara bersemuka dapat membantu membina hubungan yang lebih dekat dan pada masa yang sama membuka ruang kepada peluang perniagaan serta kerjasama strategik pada masa hadapan,” jelas beliau.
Selain itu, MK Curtain berharap dapat terus memperluas jangkauan jenama, mendekati masyarakat serta membuka ruang kepada peluang perniagaan dan kerjasama strategik bersama pelbagai komuniti dan organisasi di seluruh negara. S
Sebagai jenama tempatan yang telah melalui perjalanan lebih 21 tahun dalam industri, MK Curtain komited untuk terus berkembang seiring perubahan keperluan pelanggan serta menyediakan penyelesaian dekorasi kediaman yang berkualiti, praktikal dan bersesuaian dengan pelbagai gaya hidup.
Ditubuhkan pada tahun 2005, MK Curtain kini telah berkembang dengan rangkaian 50 cawangan di Malaysia. Syarikat menyediakan perkhidmatan menyeluruh yang merangkumi konsultasi, pengukuran, pemilihan fabrik, penghasilan, pemasangan serta perkhidmatan selepas jualan.
Sepanjang lebih dua dekad dalam industri, MK Curtain telah menyiapkan lebih 200,000 pesanan dan kini disokong oleh pasukan kumpulan yang melebihi 350 orang, meliputi bidang jualan, perkhidmatan, pengeluaran, jahitan dan operasi.
The post 20 ahli Peniagawati berkunjung ke ibu pejabat, bilik pameran, kilang jahitan MK Curtain appeared first on Kosmo Online.






