
TAMPIN – Seorang lelaki berusia 63 tahun maut selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah teres setingkat di Taman Indah, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin kira-kira pukul 7.10 pagi.
Menurut beliau, siasatan di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah teres setingkat yang dihuni tiga warga tempatan.
“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6.15 pagi ketika kesemua penghuni sedang tidur sebelum salah seorang daripada mereka terhidu bau asap.
“Akibat kebakaran itu, seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun yang berada di bilik bahagian belakang rumah disahkan meninggal dunia dipercayai gagal menyelamatkan diri, manakala dua lagi penghuni berjaya menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Amiruddien berkata, hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas dan tiada unsur jenayah dikesan setakat ini. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut rumah terbakar ketika tidur appeared first on Kosmo Online.






