Kerajaan kini dilihat mahu membina sistem bekalan kuasa berskala kebangsaan yang menggunakan tenaga elektrik dengan sumber yang mampan, khususnya solar. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila kita mendapat pancaran cahaya matahari pada kadar yang tinggi setiap hari.
Untuk ini, kerajaan dilihat mahu membina sebuah projek grid bateri berskala besar yang mampu menyimpan tenaga elektrik yang dijana melalui janaan tenaga solar, yang akan kemudiannya diagihkan ke grid tenaga elektrik kebangsaan untuk kegunaan pelbagai sektor.
Program MyBeST telah ditubuhkan pada pertengahan tahun ini untuk menjadikan pelan tersebut satu kenyataan. Dibawah program ini, empat grid bateri solar berskala besar akan dibangunkan, dimana setiap grid mampu menjana dan menyimpan 100-400MW tenaga elektrik mampan dan kemudiannya dimanfaatkan apabila permintaan untuk penggunaan tenaga elektrik adalah lebih tinggi.

Bidaan untuk projek ini telahpun ditutup pada penghujung bulan Julai, dengan sekitar 20 syarikat tenaga telah membida untuknya. Nama-nama besar dalam industri tenaga seperti Tenaga Nasional, YTL Power, Malakoff, Gamuda Bhd, Petronas Gas dilaporkan telah membida untuk projek ini.
Menariknya, Gentari, sebuah anak syarikat Petronas yang memfokuskan terhadap pembangunan teknologi pengecasan elektrik juga telah membida untuk projek ini. Syarikat-syarikat tenaga kecil lain seperti BM Greentech dan MSR Green Energy juga dilaporkan telah memasukkan bidaan mereka.
Syarikat-syarikat pembekal kelengkapan solar seperti Solarvest Holdings, Samaiden Group dan Pekat Group juga telah membida untuk menjadi rakan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan untuk projek ini.
Butiran mengenai grid bateri solar ini juga telah diperlihatkan. Syarikat yang akan mendapat tender untuk membangunkan projek ini akan diumumkan pada bulan Oktober 2025 kelak, dan akan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa sistem grid bateri ini mula beroperasi selewat-lewatnya 30 April 2027.
Selain daripada itu, grid-grid ini juga akan perlu beroperasi selama 15 tahun selepas ia diaktifkan, dan perlu boleh memegang cas elektrik sebanyak 300MW ataupun 75 peratus daripada kapasiti keseluruhan grid ini pada penghujung 15 tahun tersebut.
Bukan itu sahaja, MyBeST mengatakan bahawa sel bateri yang digunakan untuk grid ini haruslah melepasi piawaian BloombergNEF Tier 1. Piawaian ini secara lazimnya digunakan oleh pihak pelabur dan bank untuk menilai keberkesanan dan keuntungan projek bekalan tenaga sebegini dan juga kemampuan syarikat untuk membayar balik sebarang pinjaman yang diambil.
Malaysia mempunyai pelan untuk memastikan bahawa 31 peratus bekalan tenaga elektrik kebangsaan merangkumi adalah menggunakan tenaga mampan menjelang 2025 dan akan ditingkatkan ke 40 peratus menjelang 2035.



