200 lampu jalan pintar tingkat keselamatan jalan di Tapah

LocalTechnology
13 Jun 2026 • 12:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 200 lampu jalan pintar tingkat keselamatan jalan di Tapah
Saravanan (kanan) mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang berkaitan pemasangan lampu jalan LED solar pintar di sekitar Tapah.

TAPAH – Sebanyak 200 lampu jalan LED solar pintar akan dipasang secara berfasa di kawasan Parlimen Tapah dalam tempoh tiga tahun sebagai usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan penduduk setempat.

Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya menerusi peruntukan Parlimennya itu merupakan inisiatif berteraskan teknologi hijau bagi memperkukuh aspek pencahayaan di kawasan luar bandar.

Menurutnya, pelaksanaan fasa pertama akan memberi keutamaan kepada lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas kemalangan khususnya di laluan gelap dan kritikal antara Changkat Petai hingga Penjara Tapah.

“Pemasangan lampu ini bertujuan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya selain meningkatkan tahap penglihatan pengguna pada waktu malam.

“Pada masa sama, ia menjadi sebahagian daripada usaha menjadikan Tapah sebagai daerah luar bandar pintar yang moden, selamat dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan melibatkan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Luar Bandar) Batang Padang Tapah dan Jurutera Daerah.

Saravanan menegaskan keselamatan serta kebajikan penduduk sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan di kawasan Parlimen tersebut.

Katanya, projek pemasangan lampu jalan pintar itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pencahayaan, malah merupakan langkah penting untuk melindungi nyawa pengguna jalan raya serta memacu pembangunan mampan di kawasan luar bandar.

Beliau berharap pelaksanaan projek itu dapat menjadi contoh kepada kawasan lain dalam memanfaatkan teknologi hijau bagi meningkatkan keselamatan awam dan kualiti hidup masyarakat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved