Dakwaan Sorok Jaslinda Tidak Berasas, 50 Tok Batin Dan Wakil Orang Asli Buat Laporan Polis

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 7:11 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Dakwaan Sorok Jaslinda Tidak Berasas, 50 Tok Batin Dan Wakil Orang Asli Buat Laporan Polis

TAPAH – Kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis bagi membantah dakwaan serta fitnah yang tular di media sosial terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu, Mohd Asmmadi Abdullah, susulan penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin di kawasan Gunung Batu Putih baru-baru ini.

Menurut laporan Bernama, Tok Batin KOA Lata Kinjang, Rani a/l Bah Ulin berkata laporan tersebut dibuat susulan penyebaran kandungan video oleh seorang pengguna media sosial yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga mencemarkan nama baik Mohd Asmmadi serta institusi kepimpinan Orang Asli.

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli kesal dengan tuduhan kononnya Mohd Asmmadi menyembunyikan atau menyimpan Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum ditemui oleh penduduk Orang Asli di kawasan berhampiran KOA Lubuk Gaharu.

Dakwaan Disifatkan Mengguris Hati Komuniti Orang Asli

“Dakwaan itu tidak berasas dan amat mengguris perasaan masyarakat Orang Asli seolah-olah dianggap kami ini masyarakat yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.

“Kami melihatnya sebagai satu penghinaan bukan sahaja terhadap Tok Batin Asmmadi tetapi juga kepada seluruh institusi kebatinan, yang selama ini berperanan membantu masyarakat tanpa mengira kaum, terutama ketika berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini.

Terdahulu, tular satu video di media sosial TikTok yang mendakwa Jaslinda telah ‘disimpan’ oleh tok batin selama dua minggu dan jika perkara itu tidak tular, berkemungkinan tok batin berkenaan akan berkahwin dengan wanita tersebut.

Belia Orang Asli Desak Tindakan Tegas

Sementara itu, wakil belia Orang Asli, Eris Joshan a/l Chew Ho Beng, 22, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit yang didakwa menjejaskan imej tok batin yang terlibat dalam operasi pencarian, malah memberi gambaran buruk terhadap seluruh masyarakat Orang Asli di negara ini.

“Tok Batin merupakan pemimpin masyarakat yang dihormati dan menjadi tonggak kepimpinan komuniti Orang Asli, sebarang penghinaan terhadap mereka secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh masyarakat Orang Asli di Malaysia.

“Orang Asli juga mempunyai maruah yang perlu dihormati kerana apa yang dianggap jenaka oleh sesetengah pihak boleh menjadi satu penghinaan yang memberikan kesan kepada seluruh komuniti,” katanya.

Beliau turut berharap tindakan undang-undang yang setimpal dapat diambil terhadap individu terbabit bagi memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak memperlekeh atau menghina institusi tok batin serta masyarakat Orang Asli.

Spekulasi Di Media Sosial Cetus Kemarahan Komuniti

Sebelum ini, penemuan Jaslinda oleh penduduk Orang Asli selepas dilaporkan hilang ketika mendaki di Gunung Batu Putih mendapat perhatian ramai. Namun, beberapa spekulasi dan dakwaan tidak berasas yang tersebar di media sosial mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan komuniti Orang Asli sehingga mendorong laporan polis dibuat. – The Malaysian Update


Sokong TMU

Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.

Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Sokong TMU di sini

The post Dakwaan Sorok Jaslinda Tidak Berasas, 50 Tok Batin Dan Wakil Orang Asli Buat Laporan Polis appeared first on The Malaysian Update.