200 pelajar Sabah dapat manfaat RM135,000 di bawah Program Khas Anak Negeri

LocalPolitics
12 Sep 2025 • 3:58 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seramai 200 pelajar dari tiga sekolah menengah di sini bakal mendapat manfaat daripada peruntukan RM135,000 di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Datuk Tah Nia Jaman berkata, sekolah dipilih ialah SMK Likas, SMK Bandaraya dan SMK Inanam yang dikenal pasti bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dengan tumpuan kepada pelajar mengambil subjek Matematik dan Sains.

Beliau berkata, selain kelas tambahan, pelajar juga akan mengikuti bengkel pembangunan diri, kem motivasi dan kursus kemahiran belajar bagi meningkatkan kesiapsiagaan akademik serta keyakinan diri.

“Objektif utama adalah membantu pelajar cemerlang dalam Matematik dan Sains, sekali gus meningkatkan kadar pencapaian SPM di Sabah. KTYS bangga menjadi sebahagian daripada usaha ini kerana kami percaya pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan,” katanya pada majlis pelancaran Projek Rintis Akademik 2025 di Kampus Induk KTYS, di sini, Khamis.

Menurutnya, Matematik dan Sains adalah mata pelajaran kritikal bukan sahaja untuk keputusan SPM tetapi juga sebagai laluan ke bidang profesional dan teknikal.

Beliau merujuk laporan Kementerian Pendidikan bahawa pencapaian sederhana dalam kedua-dua mata pelajaran itu sejak sekian lama menjadi cabaran utama, khususnya di Sabah.

Beliau menegaskan projek rintis akademik di bawah PKAN ini dibiayai sepenuhnya oleh ICU, JPM dengan sokongan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah, khusus untuk sekolah menengah arus perdana di bawah kluster pembangunan modal insan.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi ICU, JPM, Dr Abdul Hazif Abdul Hamid yang berkata, agensi berkenaan sekian lama melaksanakan program tuisyen dan bimbingan di bawah Pejabat Pembangunan Negeri.

“Antara program yang berjaya meningkatkan prestasi pelajar ialah Program Kecemerlangan Akademik (PDCA), yang diselaraskan oleh Bahagian Penyertaan Bumiputera di Pulau Pinang sejak 2011,” katanya.

Abdul Hazif berkata, dalam dunia serba pantas hari ini dengan cabaran ekonomi, teknologi dan sosial, program seperti projek rintis akademik ini amat signifikan kerana ia bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu malah mengukuhkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat.

“Inisiatif ini membolehkan semua pihak memperluas kefahaman, memperoleh ilmu baharu dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian serta kerjaya. Saya percaya manfaatnya akan memberi impak positif bukan sahaja kepada individu malah masyarakat dan negara,” katanya.

Tah Nia turut berharap pelajar memanfaatkan peluang itu sepenuhnya.

“Semoga program ini menjadi titik permulaan untuk kita kembangkan ke lebih banyak sekolah pada masa depan,” tambahnya.