2026 catat lonjakan kes kebakaran, belukar paling kritikal

7 Apr 2026 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Izram (dua dari kiri) menyampaikan anugerah APC kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di Kota Bharu. - Foto Sinar Harian/Hazelen Liana Kamarudin

KOTA BHARU – Kejadian kebakaran mencatatkan peningkatan semula pada tahun 2026 selepas merekodkan penurunan ketara tahun sebelumnya, dengan kebakaran belukar kekal sebagai penyumbang utama di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, peningkatan itu bagaimanapun masih dalam keadaan terkawal dan tidak perlu mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menggerakkan bantuan dari negeri lain sekiranya berlaku kekurangan anggota di sesuatu lokasi.

"Memang ada peningkatan kes kebakaran ketika musim kemarau, namun keadaan masih terkawal.

"Masyarakat tidak perlu panik. Jika anggota di negeri terlibat tidak mencukupi, kita akan menempatkan anggota dari negeri lain bagi memastikan situasi kekal stabil,"katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini.

Beliau memberitahu, berdasarkan analisis statistik JBPM bagi tempoh tiga tahun, jumlah keseluruhan kebakaran mencatatkan 16,294 kes pada 2024 sebelum menurun kepada 9,941 kes pada 2025.

Namun ujarnya, angka itu kembali meningkat kepada 12,938 kes pada 2026, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan langkah kawalan sedia ada.

Tambah beliau, daripada jumlah tersebut, kebakaran belukar dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar dengan lebih 80 peratus daripada keseluruhan kes.

"Pada 2024, sebanyak 13,182 kes kebakaran belukar direkodkan, menurun kepada 7,984 kes pada 2025 sebelum meningkat semula kepada 11,147 kes tahun ini.

"Sebaliknya, kebakaran hutan menunjukkan trend penurunan konsisten daripada 2,164 kes pada 2024 kepada 1,047 kes pada 2026," katanya.

Ahmad Izram memberitahu, kebakaran kebun dan ladang turut mencatatkan penurunan stabil, daripada 948 kes kepada 744 kes dalam tempoh sama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan semula kes kebakaran pada tahun ini dipercayai berpunca daripada cuaca panas dan kering, selain aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal serta kekurangan pemantauan di kawasan berisiko tinggi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan termasuk memperketat penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka serta meningkatkan rondaan di kawasan berisiko.

"Selain itu, kempen kesedaran awam perlu dipergiat, penggunaan teknologi seperti dron dan sistem amaran awal turut perlu diperluas, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan," katanya.

Ahmad Izram memberitahu, peningkatan semula kes kebakaran pada 2026 menjadi isyarat jelas bahawa usaha pencegahan perlu dipertingkatkan secara berterusan, khususnya dalam menangani kebakaran belukar yang kekal sebagai cabaran utama.