Krisis tenaga global: JBPM optimakan penggunaan diesel, operasi tidak terjejas

LocalEnvironment
7 Apr 2026 • 1:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Izram (duduk, tengah) bergambar bersama penerima APC semasa hadir merasmikan Majlis Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di Kota Bharu pada Selasa.

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengoptimakan penggunaan bahan bakar susulan kenaikan harga diesel bagi memastikan operasi menyelamat berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, arahan penjimatan secara menyeluruh telah diberikan kepada seluruh jabatan.

Menurut beliau, sebagai agensi perkhidmatan penting, JBPM tidak boleh menghentikan operasi walaupun berdepan peningkatan kos bahan api.

"Kita telah mengeluarkan arahan supaya penggunaan bahan api dioptimumkan dan diamalkan secara berjimat cermat.

"Walau bagaimanapun, kita adalah perkhidmatan penting (essential service), jadi operasi tidak boleh dihentikan walau dalam apa jua keadaan," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai kesan kenaikan harga diesel terhadap operasi jabatan itu.

Tambah beliau, JBPM akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan dengan mengurangkan peruntukan bagi perkara kurang kritikal.

"Kita akan potong peruntukan di bahagian yang kurang penting dan menyalurkannya terus kepada operasi pemadaman serta penyelamatan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas," ujarnya.

Tegas beliau, keutamaan utama JBPM adalah memastikan setiap operasi kecemasan dapat dilaksanakan dengan cekap dan pantas demi keselamatan orang awam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, harga runcit bagi diesel di Semenanjung terus meningkat pada RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 April susulan krisis tenaga dunia yang berlanjutan.

Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 50 sen berbanding tempoh sebelumnya, RM5.52 seliter.

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi kenyataan memaklumkan, krisis berkenaan telah mendorong lonjakan harga minyak mentah Brent global melebihi 40 peratus sehingga melepasi paras AS$100 setong.