
Polis Johor menahan 209 pelayan perkhidmatan pelanggan (GRO) warga asing dan 13 penjaga premis dalam serbuan Ops Noda di 12 pusat hiburan.
JOHOR BAHRU: Sebanyak 209 wanita asing yang bekerja sebagai pelayan perkhidmatan pelanggan (GRO) ditahan dalam Ops Noda yang dijalankan di 12 pusat hiburan di seluruh negeri ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata operasi bersepadu itu dilancarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bermula 2.15 pagi hingga 9 pagi.
Beliau berkata turut ditahan 13 penjaga premis pusat hiburan berumur antara 20 hingga 53 tahun, merangkumi 10 lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing.
“Sebanyak 209 GRO warga asing berusia antara 19 hingga 40 tahun yang ditahan itu terdiri daripada 93 warga Vietnam, Thailand (87), Laos (11), Indonesia (7), Myanmar (6), dan Filipina (5),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati 44 orang daripada mereka positif dadah.
Beliau berkata semakan rekod lampau pula mendapati tujuh daripada yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan narkotik.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98; Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155); serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.
Ab Rahaman berkata pihaknya tidak akan berkompromi dan sentiasa komited dalam menangani isu keselamatan serta ketenteraman awam, sekali gus menegaskan premis yang melanggar syarat lesen akan dikenakan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah agar menyalurkannya terus ke Hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan di talian 07-2212999.






