
JOHOR BAHRU – Seramai 209 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan perkhidmatan pelanggan (GRO) terkejut selepas tempat mereka mencari rezeki diserbu polis dalam Op Noda, awal pagi tadi.
Operasi besar-besaran itu menyaksikan 12 pusat hiburan di seluruh Johor diserbu serentak dalam tempoh kira-kira tujuh jam bermula pukul 2.15 pagi hingga 9 pagi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, hasil serbuan itu, polis menahan 222 individu terdiri daripada 13 penjaga premis dan 209 GRO warga asing berusia antara 19 hingga 40 tahun.
“Daripada jumlah 13 penjaga premis yang ditahan, 10 merupakan lelaki tempatan manakala tiga lagi lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 53 tahun.
“44 daripada kesemua tangkapan dikesan positif dadah menerusi ujian saringan awal air kencing yang dijalankan polis,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, pemeriksaan turut mendapati tujuh daripada tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan narkotik.
Jelasnya, wanita warga asing yang ditahan terdiri daripada 93 warga Vietnam, 87 Thailand, 11 Laos, tujuh Indonesia, enam Myanmar dan lima Filipina.
Kesemua mereka ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Imigresen 1959/63 serta Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor.
“Antara kesalahan yang disiasat termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh pas lawatan, penyalahgunaan pas lawatan sosial serta menggaji atau membenarkan warga asing berada di premis tanpa pas yang sah,”katanya.
Beliau berkata, 13 penjaga premis ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala 209 wanita warga asing ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.-KOSMO! ONLINE
The post 12 pusat hiburan diserbu, 209 GRO warga asing dicekup appeared first on Kosmo Digital.






