21 kecederaan pada tubuh tahanan mati dalam lokap, pembangkang tuntut siasatan menyeluruh

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 6:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 21 kecederaan pada tubuh tahanan mati dalam lokap, pembangkang tuntut siasatan menyeluruh
Mangsa meninggal dunia pada 1 Oktober lalu selepas ditahan di IPD Cheras.

SHAH ALAM - Ahli-ahli Parlimen pembangkang menuntut siasatan menyeluruh dan segera berhubung insiden kematian seorang lelaki dalam lokap polis selepas dilaporkan mengalami 21 kecederaan pada seluruh badan.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya memandang serius kejadian membabitkan Noorizwan Zulkefly, 42, yang meninggal dunia pada 1 Oktober lalu selepas ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Menurutnya, kebimbangan semakin meningkat susulan laporan bahawa pakar patologi forensik dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mengesahkan terdapat 21 kecederaan pada tubuh mangsa termasuk pendarahan otak dan usus serta kecederaan parah dari kepala hingga ke kaki.

"Berita insiden kematian seorang tahanan lokap polis buat kesekian kalinya ini semakin menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai tahap profesionalisme, kewajaran penggunaan kekerasan serta tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota penguat kuasa terutama polis.

"Pihak polis memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dengan majoriti anggotanya diyakini menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi, profesional dan berintegriti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Takiyuddin berkata, sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang seperti insiden itu perlu ditangani secara tegas, segera dan berhemah.

Beliau menambah, kebimbangan masyarakat berhubung kejadian itu tidak seharusnya dianggap sebagai reaksi terburu-buru atau keterlaluan, sebaliknya perlu dilihat sebagai manifestasi keprihatinan awam terhadap integriti dan profesionalisme anggota keselamatan.

Menurutnya, perkara itu turut berkait rapat dengan hak asasi individu yang dilindungi undang-undang termasuk hak untuk tidak diperlakukan secara sewenang-wenangnya atau dihukum di luar proses pengadilan yang sah.

Justeru, beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan dengan segera, selain memastikan hasil siasatan dimaklumkan kepada umum dalam tempoh yang munasabah.

“Perlu disedari aspek akauntabiliti dan ketelusan bukanlah sesuatu yang melemahkan pasukan keselamatan atau institusi awam, sebaliknya merupakan elemen penting dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan meningkatkan mutu perkhidmatannya," ujarnya lagi.

Takiyuddin berpandangan, tindakan tegas terhadap sebarang salah laku akan membantu memastikan imej dan reputasi pasukan polis kekal terpelihara, selain terus dihormati dan diyakini rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved