
PETALING JAYA: Sebanyak 21 kes berkaitan minuman keras tidak bercukai melibatkan nilai rampasan RM38.7 juta di seluruh negara direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, jumlah itu membabitkan 43 tangkapan dalam tempoh berkenaan.
Terbaharu, katanya, WCB/PSK menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai bernilai RM1.9 juta dalam serbuan di Puchong dan Klang, Selangor, Khamis lepas.
“Lima individu termasuk dua warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan dalam operasi itu.
“Dalam operasi berkenaan, pihak polis merampas 389 peti dan 255 kotak minuman keras pelbagai jenama, dua buah lori serta lima unit telefon bimbit dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.9 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil risikan mendapati sindiket itu aktif menjalankan aktiviti penyimpanan, pengedaran serta penjualan minuman keras haram sejak 2024 dan menjadikan kawasan sekitar Pandamaran, Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang sebagai antara lokasi utama pengedaran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Menurutnya, dalam operasi berasingan semalam, WCB/PSK dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan 89 ekor kura-kura spesies dilindungi bernilai RM190,000 dalam serbuan di Lunas dan Kulim, Kedah.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan dalam serbuan itu melibatkan rampasan 74 ekor kura-kura spesies Sulcata dan 15 ekor Yellow Pond Turtle.
“Turut dirampas menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (Brian Exotic) itu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan satu unit telefon bimbit dan kes disiasat mengikut Seksyen 61 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.l
“Bagi tempoh Januari hingga Julai, Operasi Bersepadu Khazanah mencatatkan 53 kes, 56 tangkapan dan nilai rampasan keseluruhan RM93.8 juta,” katanya. – UTUSAN
The post 21 kes minuman keras tidak bercukai bernilai RM38.7 juta appeared first on Utusan Malaysia.






