
Kota Kinabalu: Sebanyak 21 notis dikeluarkan terhadap peniaga Bazar Ramadan sepanjang Ops Ramadan yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh Sabah sejak 27 Mac lalu.
Notis dikeluarkan di Kota Kinabalu, Papar, Tawau, Kudat dan Sandakan, di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas kesalahan termasuk gagal memakai apron, kuku jari panjang, tiada sijil kursus pengendali makanan, tiada suntikan vaksin tifoid, antara lain.
“Pasukan kami juga mengumpul empat sampel makanan sejak Isnin,” kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Rose Nani Mudin pada sidang media selepas kunjungan Ops Ramadan di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, di sini, Selasa.
Operasi itu dijalankan Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bertujuan memastikan peniaga Bazar Ramadan mematuhi prosedur pengendalian makanan dan kebersihan premis perniagaan.
“Ini perlu untuk mengekalkan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada pengguna,” kata Dr Rose.
Jabatan Kesihatan Negeri turut memperkenalkan penggunaan kod QR di Bazar Ramadan untuk pengunjung bazar menyalurkan aduan mengenai kebersihan pengendalian makanan melalui medium ini.
Kod QR boleh dilihat dalam sepanduk yang diletakkan di Bazar Ramadan di seluruh negeri.
Selain itu, aduan juga boleh diajukan melalui Aduan Talian Kesihatan Sabah melalui WhatsApp ke 019-860 2929 dan laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia di https://moh/spab.my/eApps/system /index.do.
Dr Rose mengingatkan orang ramai supaya bijak memilih makanan sihat dan premis makanan bersih.
“Kesihatan anda dan keluarga adalah tanggungjawab anda,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
