
SANDAKAN: Seramai sembilan peniaga bazar Ramadan di sini dikompaun RM100 akibat gagal mematuhi peraturan kebersihan makanan.
Kompaun dikeluarkan selepas pemeriksaan Operasi Bazar Ramadan yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan (PKS) bersama Unit Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di sini pada Isnin.
Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, operasi itu antara lain bertujuan untuk memastikan makanan disediakan atau dijual adalah selamat untuk pengguna dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti, peniaga gagal menunjukkan kad kuning atau kesihatan serta suntikan tifoid, tiada sijil pengendali makanan, selain gagal memastikan kebersihan kawasan jualan masing-masing dan tidak memakai apron selaku pengendali makanan,” katanya.
Beliau ditemui sejurus mengetuai Operasi Bazar Ramadan di Bandar Sandakan pada Isnin.
Sebanyak 60 daripada 164 gerai di Bazar Bandar di Jalan Coastal Sandakan diperiksa dalam operasi itu.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebuah restoran di daerah ini telah dikompaun RM1,000 kerana didapati kehadiran lalat pada menu berbuka puasa pelanggan.
“Kita juga ada menerima satu lagi laporan berkenaan juadah berbuka puasa ikan keli yang dikatakan mempunyai telur lalat yang dibeli oleh pengguna di salah sebuah bazar Ramadan di sini, dan kita akan menyiasat perkara ini,” jelasnya.
Menurut beliau, operasi itu akan diteruskan dan akan dilaksanakan oleh 40 anggota PKS dan MPS di tiga tapak bazar kendalian MPS iaitu di bandar Sandakan, Batu 8 dan Sejati Ujana.
Sementara tapak bazar kendalian pihak penganjur swasta dan badan bukan kerajaan juga akan diperiksa.
Johari menasihatkan peniaga agar sentiasa ambil peduli dan peka berkenaan tahap kebersihan jualan mereka.
“Pembeli juga perlu bijak menilai peniaga mana yang mempunyai tahap kebersihan sewajarnya, seperti makanan sentiasa tertutup dan tidak terdedah, dan pengendali menggunakan apron,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
