
TAWAU: Seramai 21 pendatang tanpa izin (PTI) dari Pakistan, Filipina dan Indonesia ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang dijalankan di sekitar daerah ini pada Selasa.
Pengarahnya Datuk Sh Sitti Saleha Yussof berkata pasukannya yang terdiri daripada 22 pegawai imigresen menjalankan pemeriksaan dokumentasi dan saringan terhadap hampir 100 individu sebelum menahan suspek.
Sitti Saleha berkata PTI yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan terutamanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau pas perjalanan yang sah.
Siasatan dijalankan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sitti Saleha berkata operasi itu dijalankan berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan selama kira-kira seminggu di beberapa lokasi berasingan.
Katanya tindakan tegas akan diambil terhadap warga tempatan yang dikesan melindungi atau menggaji mereka.


