Dua Lelaki Halang Tugas Polis Di Perhimpunan Sokong GSF Dibebaskan Dengan Jaminan

LocalPolitics
3 Oct 2025 • 9:56 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Dua lelaki yang ditahan kerana bertindak menghalang tugas polis ketika kawalan keselamatan dijalankan dalam perhimpunan menyokong Global Sumud Flotila (GSF) di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, semalam, telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dua lelaki dibebaskan dengan jaminan polis

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, kedua-dua individu terbabit yang masing-masing berusia 23 dan 32 tahun itu dibebaskan selepas keterangan mereka diambil bagi membantu siasatan.

image is not available

“Tindakan lanjut akan ditentukan selepas siasatan selesai. Namun buat masa ini, kedua-dua mereka dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Terdahulu, kejadian penahanan itu menjadi tular selepas rakaman video berdurasi 54 saat dimuat naik di Facebook oleh seorang pengguna media sosial.

Klip berkenaan memaparkan insiden kekecohan yang melibatkan dua lelaki tersebut berlaku ketika polis mengawal keadaan di lokasi perhimpunan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

image is not available

Perhimpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat itu diadakan sebagai solidariti terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) yang ketika ini menjadi perhatian dunia selepas beberapa aktivis antarabangsa, termasuk rakyat Malaysia, dilaporkan ditahan pihak berkuasa Israel.

Sumber: Harian Metro (Muhaamad Hafis Nawawi)