21 tahun tanpa isteri, lelaki setia jaga adik ipar seperti anak sendiri

LocalFamily & Parenting
9 Mar 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Syazana (berdiri, dua kiri) dan adik-adiknya merakam gambar raya bersama Mohd Puad (tengah) pada 2024.
image is not available
Gambar kenangan Mohd Puad bersama arwah isterinya, Khirina.
image is not available
Mohd Puad tetap setia menjaga adik-adik iparnya selepas kehilangan arwah isteri tercinta kira-kira 21 tahun lepas.
image is not available
Mohd Puad menunaikan umrah bersama adik-adik iparnya sekeluarga tahun lepas.

SHAH ALAM - Pengorbanan seorang lelaki dari Johor Bahru yang membesarkan adik-adik iparnya seperti anak sendiri menjadi bukti bahawa kasih sayang dalam keluarga tidak semestinya terikat dengan hubungan darah.

Bagi Syazana Ta’at, 43, Mohd Puad Basri @ Hassan, 62, bukan sekadar abang ipar, malah dianggap sebagai insan penting yang menjaga dan membesarkan mereka.

Menurutnya, walaupun kakaknya, Khirina Ta’at, telah meninggal dunia sejak 21 tahun lalu, lelaki itu tetap bersama mereka dan terus menjaga keluarga tersebut.

"Abang ipar menanggung perbelanjaan persekolahan. Setiap kali adik-adik pergi dan balik asrama, dialah yang menghantar dan mengambil.

"Hari raya dia yang akan menyediakan baju-baju baharu untuk kami adik-beradik iparnya," katanya kepada Sinar Harian.

**media[3456833]**

Sebelum ini, video pengorbanan Mohd Puad dikongsikan Syazana menerusi TikTok dan menerima 433,900 tontonan serta 41,000 tanda suka.

Syazana memberitahu, kehidupan mereka berubah selepas kehilangan ibu bapa ketika masih kecil.

Menurutnya, bapa mereka, Ta’at Rahmat, meninggal dunia pada 3 September 1993, manakala ibu, Aisah Mosaba, pula meninggal dunia pada 28 November 1994.

“Sejak itu, abang ipar menjadi tempat kami bergantung,” katanya.

**media[3456834]**

Tambahnya, abang ipar berkahwin dengan kakak mereka pada tahun 1990 sebelum kakaknya meninggal dunia pada 2005.

“Walaupun kakak sudah lama meninggal dunia, abang ipar masih bersama kami sampai hari ini," katanya.

Syazana berkata, ketika membesarkan mereka, abang iparnya hanya bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat peguam dengan gaji sekitar RM400 sebulan.

Menurutnya, lelaki itu turut membesarkan empat orang anak kandung selain empat orang adik ipar perempuan selepas kehilangan isteri.

“Walaupun memikul tanggungjawab besar, dia tidak pernah menunjukkan perasaan penat. Dia juga tidak pernah meninggikan suara marah dan tidak pernah mengungkit langsung apa yang dia buat untuk kami," ujarnya lagi.

Menurut Syazana, abang iparnya juga seorang yang sangat merendah diri dan tidak suka kisah pengorbanannya diketahui orang ramai.

Tambahnya lagi, lelaki itu sentiasa berpegang pada prinsip biarlah kebaikan yang dilakukan hanya diketahui dirinya sendiri dan biarlah ALLAH SWT sahaja mengetahui pengorbanan yang dilakukan untuk mereka.

**media[3456832]**

Kongsi wanita itu, rumah abang iparnya kini menjadi tempat berkumpul seluruh keluarga, terutamanya setiap hujung minggu dan musim perayaan.

Menurut Syazana, rumah tersebut ibarat rumah ibu bapa kerana semua adik-beradik akan berkumpul di sana seperti pulang ke rumah sendiri.

"Jadi, bagi saya pertalian keluarga bukan pada nama, bukan pada darah, bukan pada rasa, tetapi pada kasih sayang dan tanggungjawab,” kongsinya.