IPOH – M K Land Holdings Berhad (M K Land) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni lebih 250 anak yatim dan pelajar tahfiz menerusi Siri Jelajah Ramadan M K Land sepanjang Ramadan ini.
Ketua Pegawai Operasi Wilayah Utara, Nazri Tumin berkata, program itu berlangsung di empat lokasi utama operasi syarikat iaitu Damansara Perdana, Ipoh, Bukit Merah dan Langkawi bagi menyemarakkan semangat kebersamaan serta berkongsi kegembiraan dengan golongan yang memerlukan.
“Di setiap lokasi, anak-anak yatim dan pelajar tahfiz daripada rumah kebajikan serta pusat tahfiz terpilih diraikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa, diikuti solat sunat Tarawih berjemaah dan moreh.
“Pada majlis sama, M K Land turut menyampaikan sumbangan duit raya sebagai simbolik meraikan kemeriahan Syawal, sekali gus membawa kegembiraan dan senyuman kepada anak-anak ini,” katanya dalam satu kenyataan.
**media[3457610]**
Siri jelajah berkenaan disertai barisan pengurusan kanan M K Land termasuk Ketua Pegawai Operasi Wilayah Tengah, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sumber, Frankie Chai; dan Ketua Hartanah Wilayah Utara, Norida Abu Kassim.
Menurut Nazri, inisiatif tersebut bukan sekadar program menyantuni komuniti setempat, malah bertujuan memberi inspirasi serta menyemai keyakinan diri dalam kalangan anak-anak agar mereka terus berani bermimpi besar.
“Di M K Land, kami percaya setiap anak mempunyai potensi dan masa depan cerah jika diberikan dorongan dan peluang yang sewajarnya.
“Siri Jelajah Ramadan ini bukan sahaja meraikan mereka, tetapi juga membuka mata dan hati mereka bahawa dunia ini luas dan penuh peluang yang boleh diterokai. Kami mahu mereka yakin bahawa mereka juga berhak untuk berjaya dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau menambah, komitmen M K Land dalam aspek sosial selari dengan agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat yang menekankan pembangunan komuniti secara inklusif dan mampan.
Ujarnya, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, M K Land bukan sekadar membangunkan hartanah, tetapi turut komited membangunkan nilai kemanusiaan dalam komuniti tempat ia beroperasi.
“Inisiatif seperti ini menyemai nilai kasih sayang, empati dan saling membantu dalam kalangan generasi akan datang,” tambahnya.
Sementara itu, Norida menyifatkan program yang diadakan dalam kawasan operasinya itu amat bermakna kerana mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk memberi kembali kepada komuniti setempat.
“Sebagai organisasi yang beroperasi dan membesar bersama komuniti, menjadi tanggungjawab kami untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan, lebih-lebih lagi dalam Ramadan yang penuh keberkatan.
“Program ini bukan sahaja menyantuni anak-anak yang memerlukan, malah mengeratkan hubungan dengan para pemegang taruh dalam suasana lebih santai dan bermakna selepas setahun bekerjasama. Inilah masa untuk memperkukuh silaturahim dan membina hubungan yang lebih tulus dengan komuniti,” katanya.
Siri Jelajah Ramadan M K Land mencerminkan nilai teras syarikat dalam mengutamakan kesejahteraan sosial dan memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.
Program sebegini akan terus menjadi sebahagian daripada inisiatif CSR M K Land sejajar dengan komitmennya memperkasa komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sosial yang mampan.



