
KUALA LUMPUR - Seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah dalam tempoh 2024 hingga September 2026, susulan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang semakin agresif memperdaya golongan muda menerusi tawaran pekerjaan lumayan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, golongan belia, pelajar kolej dan graduan antara sasaran utama sindiket yang menawarkan gaji tinggi, tiket penerbangan serta penginapan percuma, pakej pelancongan dan insentif wang tunai.
Menurutnya, rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara dalam tempoh berkenaan kerana disyaki berperanan sebagai keldai dadah.
“Trend ini menunjukkan sindiket pengedaran dadah semakin menggunakan tawaran pekerjaan dan ganjaran yang kelihatan menarik untuk memerangkap golongan muda dalam kegiatan jenayah yang sebenarnya membawa risiko undang-undang dan keselamatan diri yang amat serius,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, sindiket turut meningkatkan penggunaan media sosial, platform e-dagang dan aplikasi pesanan bagi memasarkan dadah, menarik pelanggan serta menyelaras urus niaga.
Antara modus operandi digunakan termasuk akaun palsu, kumpulan dalam talian tertutup, komunikasi dalam tempoh terhad, penggunaan e-dompet, pembayaran tanpa tunai dan perkhidmatan kurier.
Sindiket juga menggunakan kaedah pembayaran tunai semasa penghantaran (COD) serta lokasi tertentu untuk urusan serahan dadah.
Shamsul Anuar berkata, polis mempergiat pemantauan dan siasatan dalam talian dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), platform digital, pengendali e-dagang serta syarikat kurier bagi mengesan aktiviti mencurigakan sepanjang masa.
Katanya, tindakan penguatkuasaan turut menyasarkan keseluruhan rangkaian sindiket termasuk operasi kewangan mereka, dan bukan hanya tertumpu kepada pengedar kecil.
Kerajaan juga memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan bagi mengesan transaksi mencurigakan serta memutuskan saluran pembayaran dan penghantaran yang digunakan sindiket.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji cadangan meminda Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi memasukkan bahan psikoaktif baharu (NPS) yang dikenal pasti ke dalam senarai bahan terkawal.
Mengulas cadangan Ahli Parlimen Kota Bharu daripada PAS untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah dadah di Malaysia, beliau berkata kerajaan akan meneliti cadangan itu, namun belum dapat memberikan keputusan muktamad ketika ini.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh perkongsian risikan antarabangsa, siasatan terhadap sumber bekalan dadah, pemantauan lokasi berisiko tinggi serta kawalan sempadan negara. - Getaran, 5 November 2026





