
TAWAU: Seramai 215 orang hilang tempat tinggal apabila kebakaran merebak di perkampungan atas air Kampung Sri Aman sehingga memusnahkan 30 buah rumah, di sini, Sabtu.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.20 malam itu memusnahkan struktur di kawasan seluas 1.37 ekar dan direkodkan sebagai insiden kebakaran tunggal terbesar di Tawau tahun ini dari segi jumlah rumah yang musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata anggota bomba berdepan cabaran memadamkan kebakaran kerana terpaksa bergantung kepada sumber air terbuka dari laut.
“Dalam operasi ini, kira-kira 300 rumah yang terletak berhampiran lokasi kejadian berjaya diselamatkan daripada musnah akibat kebakaran dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya pada Ahad.
Jemishin berkata panggilan kecemasan diterima jam 11.23 malam dan 17 anggota bomba dikejarkan ke lokasi, tiba 10 minit kemudian.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau turut dibantu enam anggota dari Balai Kunak serta enam anggota Pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan.
“Operasi kami juga menerima bantuan daripada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam, Sabah Electricity serta Jabatan Air,” katanya.
Operasi memadamkan kebakaran dilaksanakan menggunakan tiga pendekatan berbeza. Pendekatan pertama melibatkan penggunaan pili bomba yang disambungkan ke jentera pemadam api (FRT) tiga aliran iaitu 500 kaki satu pancutan, 200 kaki dengan bantuan air ke tangki air bomba dan 300 kaki ke satu lagi FRT berasingan.
Tahap kedua menggunakan dua aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan pam angkut yang menggunakan sumber air terbuka dari laut manakala tahap ketiga melibatkan satu aliran 400 kaki dengan satu pancutan pam angkut ari laut melalui Pasukan Bomba Komuniti.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.44 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.10 pagi selepas kami memastikan tiada lagi bahaya di sekitar lokasi kejadian,” katanya.
Punca sebenar kebakaran serta jumlah keseluruhan kerugian masih belum dapat dipastikan kerana siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memutuskan semua mangsa terjejas akan dipindahkan ke penempatan sementara di Kompleks Sukan Tawau bermula Ahad.


