22 koperasi Perak terima geran RM1.134 juta

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 9:01 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 22 koperasi Perak terima geran RM1.134 juta

IPOH – Sebanyak 22 koperasi di Perak menerima geran berjumlah RM1.134 juta bagi membantu memperkukuh dan mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing pada tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan tersebut perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya memberi hasil yang boleh dilihat termasuk meningkatkan kapasiti, meneroka pasaran baharu dan menambah pendapatan koperasi.

“Bantuan seperti ini mesti membawa hasil yang boleh dilihat. Kalau digunakan untuk meningkatkan kapasiti, kita mahu kapasiti benar-benar meningkat.

“Kalau digunakan untuk mengembangkan perniagaan, kita mahu ada pasaran baharu, hasil yang bertambah dan manfaat yang kembali kepada anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi (MAGK26) Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Saarani berkata, kerajaan negeri turut menyediakan Geran Koperasi Perak (GKOP) berjumlah RM350,000 tahun ini bagi membantu koperasi meningkatkan kapasiti perniagaan dan meneroka pasaran baharu.

Katanya, peruntukan bagi pembangunan usahawan dan koperasi turut ditingkatkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2026 kepada RM1.1 juta berbanding RM1 juta pada tahun sebelumnya.

“Koperasi perlu tahu pasaran yang hendak dimasuki, kos yang perlu dikawal, rakan niaga yang perlu didekati dan kekuatan yang perlu dibina untuk beberapa tahun ke hadapan.

“Apabila asas pengurusan itu kukuh, koperasi akan lebih bersedia merebut peluang yang muncul dan peluang itu sekarang semakin luas seiring dengan perkembangan ekonomi Perak,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, sehingga 31 Disember lalu, Perak mempunyai 1,755 koperasi dengan lebih 355,000 anggota manakala keseluruhan syer dan yuran berjumlah sekitar RM553 juta dengan aset gerakan koperasi pula mencecah RM1.62 bilion.

Katanya, daripada aspek perolehan, ia direkodkan meningkat daripada kira-kira RM706 juta pada 2024 kepada RM792 juta pada 2025, iaitu peningkatan sekitar 12 peratus dalam tempoh setahun.

“Peningkatan ini menunjukkan gerakan koperasi di Perak mempunyai asas yang baik untuk pergi lebih jauh.

“Cabarannya sekarang ialah bagaimana kekuatan yang sudah ada dapat diterjemahkan kepada perniagaan yang lebih produktif, pasaran yang lebih luas dan pulangan yang lebih baik kepada anggota,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post 22 koperasi Perak terima geran RM1.134 juta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved