Anak Perak perlu bersedia rebut 10,704 peluang pekerjaan

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2026 • 11:26 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Anak Perak perlu bersedia rebut 10,704 peluang pekerjaan

IPOH: Sebanyak 10,704 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan menerusi pelaburan diluluskan yang bernilai RM15.76 bilion di Perak dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak negeri, khususnya golongan belia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan itu selari dengan pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 5.7 peratus kepada RM91.5 bilion pada 2025, manakala sektor pembuatan berkembang 15.2 peratus.

Sehubungan itu katanya, golongan belia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri dan merebut peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan.

“Setiap kali angka seperti ini dibentangkan kepada saya, ada satu perkara yang sentiasa difikirkan iaitu berapa banyak daripada peluang tersebut akan diisi oleh anak-anak Perak.

“Kita mahu apabila industri berkembang, anak Perak bekerja di dalamnya, usahawan tempatan masuk ke dalam rantaian bekalan dan lebih ramai anak muda mempunyai peluang
membina masa hadapan di negeri sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kedua Persidangan Dewan Belia Perak Sesi Ke-5 Tahun 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Saarani berkata, penyediaan peluang pekerjaan sahaja tidak mencukupi sekiranya golongan muda tidak mengetahui pekerjaan yang sedang diwujudkan atau tidak memiliki kemahiran diperlukan industri.

“Kalau anak muda kita tidak tahu pekerjaan apa yang sedang diwujudkan, kita mempunyai jurang maklumat. Kalau mereka tahu tetapi tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan, kita mempunyai jurang kemahiran.

“Dan kalau mereka sudah mempunyai kemahiran tetapi masih sukar memasuki industri, kita perlu tahu apa yang menghalang mereka,” katanya.

Menurut beliau, Dewan Belia Perak boleh memainkan peranan penting dalam mengenal pasti jurang berkenaan kerana anggotanya berada dekat dengan pelajar yang sedang memilih haluan kerjaya, graduan yang mencari pekerjaan dan anak muda yang mahu memulakan perniagaan.

“Dekati mereka, dengarkan pengalaman mereka dan kenal pasti apa yang masih menjadi halangan untuk anak muda Perak mengambil peluang yang ada.

“Kita tidak mahu sampai satu hari nanti peluang sudah berada di depan mata, tetapi anak muda Perak belum bersedia untuk mengambilnya,” katanya.-UTUSAN

The post Anak Perak perlu bersedia rebut 10,704 peluang pekerjaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved