22 tahun bersama, kini isteri Edika Yusof failkan perceraian

24 Mar 2025 • 6:58 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Edika Yusof dan isterinya, Nor Hidayah Yusri, pernah menjadi simbol ketabahan dan cinta sejati apabila pelakon itu setia menjaga Hidayah yang lumpuh sejak 16 tahun lalu. Namun, kini hubungan mereka diuji apabila Hidayah memfailkan perceraian.

Menurut laporan Gempak, permohonan cerai itu difailkan sejak pertengahan Februari lalu dan kes berkenaan telah disebut buat pertama kali di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Menurut peguam Hidayah, Mohd Yazid Hazim, sebutan kali ini hanyalah bagi proses penyerahan dokumen dan pihak defendan, Edika, tidak hadir atas alasan kerja. Mahkamah menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula kes.

“Sebab utama plaintif mahu bercerai adalah kerana tiada persefahaman. Butiran lanjut mungkin hanya akan didedahkan mengikut arahan hakim nanti,” katanya kepada Gempak.

Hidayah ketika ditemui pula enggan memberi kenyataan lanjut dan lebih selesa menunggu kenyataan suaminya terlebih dahulu sebelum membuat sebarang reaksi.

“Kalau saya sudah ke mahkamah, mestilah ada sebab yang sangat kukuh. Tapi biar pihak sana yang bercakap dulu,” ujarnya ringkas.

Beliau turut mengesahkan bahawa mereka sudah tidak tinggal sebumbung, namun enggan menyatakan sejak bila.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga hampir 22 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata. Kisah Edika yang setia menjaga Hidayah pernah menjadi inspirasi ramai, menjadikan perkembangan ini sesuatu yang mengejutkan peminat.