220 pendatang tanpa izin Indo dihantar pulang

22 Mar 2025 • 2:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 220 tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan ke negara asal mereka, Indonesia.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia yang dipindahkan ke negara asal setakat ini berjumlah 612 orang.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, angka itu juga menjadikan bilangan PTI yang dihantar balik ke negara asal menerusi Operasi Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal kini seramai 2,699 orang.

“Semua pendatang tanpa izin (PTI) yang baru sahaja dihantar pulang ke Indonesia itu berumur lapan bulan sehingga 67 tahun,” katanya, menerusi kenyataan di sini, pada Jumaat.

Saleha berkata semua PTI terbabit dipindahkan dari negeri ini dengan menaiki feri Labuan Express dan Francis Express ke Pulau Nunukan, Indonesia.

Menurutnya, semua PTI itu sudah menjalani hukuman masing-masing mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor yang sah.

“Dokumen pengenalan diri itu dikeluarkan oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan warga asing ke negara asal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan warga asing yang dikenal pasti menyalahgunakan pas dan kemudahan yang sudah diberikan kepada mereka.

Malah, pendakwaan juga akan dikenakan kepada majikan dan pemilik premis yang menggaji pekerja warga asing, namun tidak mempunyai dokumen perjalanan dan pas yang diiktiraf.

“Tindakan susulan terhadap pihak yang melanggar syarat pas atau permit boleh diambil mengikut Akta Imigresen 1959/ 63 atau Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Operasi akan diteruskan, jadi kita nasihatkan majikan dan masyarakat tempatan supaya menggunakan saluran undang-undang yang sah jika menggaji pekerja warga asing,” katanya.