KUCHING - Seramai 23 lelaki termasuk seorang remaja dipercayai ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah kekerasan di Sarawak hari ini dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini.
Kesemua tertuduh, yang ditahan menerusi Ops Pusak Merah dan berumur lingkungan 19 hingga 44 tahun, didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa menganggotai "Geng 24 Hung-Hung” antara Disember 2021 hingga April lepas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung China/Dayak, Sematan di Lundu.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi selaras dengan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Selain itu, kesemua tertuduh yang didakwa secara berasingan di hadapan Hakim Iris Awen Jon, Noorhisham Mohd Jaafar dan Musli Ab Hamid tidak dibenarkan sebarang jaminan.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Kasim dan Maryam Jamielah Ab Manaff memohon tempoh sebulan untuk sebutan semula bagi urusan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.
Kesemua lelaki, kecuali seorang tertuduh, diwakili peguam Hani Iryani Bonny, Patrick Voon, Ralph Lee, Daniel Ling dan Datuk Shankar Ram Asnani.
Terdahulu, kawalan keselamatan ketat dilaksanakan di mahkamah dengan anggota polis berpakaian taktikal dan bersenjata ditempatkan berhampiran semua tertuduh serta galeri awam yang dipenuhi ahli keluarga selain media.
Kesemua tertuduh tiba di kompleks mahkamah pada kira-kira 12.30 tengah hari, dan mereka dibawa dari pusat tahanan menggunakan dua kenderaan polis yang dikawal rapi.- Bernama






