23 Pengunjung Cedera Selepas Permainan Di Taman Tema Runtuh

1 Aug 2025 • 4:53 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

23 Pengunjung Cedera Selepas Permainan Di Taman Tema Runtuh

JEDDAH — Seramai 23 orang cedera termasuk tiga parah selepas sebuah permainan di taman tema di kawasan pergunungan Al-Hada, Taif secara tiba-tiba runtuh, lapor Arab News.

Insiden membabitkan permainan dinamakan “360 Big Pendulum” itu berlaku ketika ia sedang berayun membawa penumpang dalam gerakan berbentuk arka besar sebelum tiang utama struktur permainan patah secara mendatar.

Perkara itu menyebabkan bahagian lengan yang memegang penumpang terhempas ke tanah.

Rakaman video tular di media sosial menunjukkan suasana panik dan kecoh sejurus kejadian berlaku, dengan beberapa pengunjung dilihat cedera akibat hentakan kuat, manakala yang lain terkena serpihan komponen yang terpelanting dari arah bertentangan.

https://x.com/kaisos1987/status/1950804673742422312

Taman Tema Ditutup Serta-Merta

Susulan kejadian, Gabenor Taif, Putera Saud bin Nahar bin Saud bin Abdulaziz, mengarahkan penutupan serta-merta taman tema tersebut sementara siasatan dijalankan.

“Beberapa kecederaan berlaku; ada yang dirawat di tempat kejadian, manakala yang lain dihantar ke hospital.

“Tiada kematian dilaporkan setakat ini,” menurut kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi akaun X kerajaan wilayah.

Pasukan kecemasan termasuk pertahanan awam, paramedik dan pasukan keselamatan telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera segera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Insiden tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap tahap keselamatan di taman tema.

Ramai yang menggesa agar pemeriksaan dan penyelenggaraan lebih ketat dilakukan secara berkala, selain akauntabiliti penuh daripada pihak pengendali fasiliti.

Sumber: Arab News