24 pusat pemulihan Pulau Pinang bakal dilengkapi CCTV

3 Aug 2026 • 2:50 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 24 pusat pemulihan Pulau Pinang bakal dilengkapi CCTV

SEBERANG PERAI – Kesemua 24 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Pulau Pinang bakal dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan premis serta melindungi peserta orang kurang upaya (OKU) dan petugas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program 360° Kita Bersama hasil kerjasama syarikat Petron yang mengumpulkan dana bagi memasang empat unit CCTV di setiap PPDK di negeri ini.

Beliau berkata, pemasangan CCTV penting bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan peserta termasuk pencerobohan dan penderaan.

“Untuk menjaga keselamatan, kita tak mahu apa-apa berlaku, terutamanya pencerobohan atau penderaan. Jadi kita mengadakan CCTV.

“Ini sama dengan sekolah. Kita juga galakkan banyak sekolah juga adakan CCTV. Jadi kita rasa adalah mustahak untuk setiap PPDK di setiap negeri adakan CCTV,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program 360° Kita Bersama di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Seberang Jaya di sini, hari ini.

Tambahnya, kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengalu-alukan lebih banyak penglibatan sektor swasta bagi membantu meningkatkan kemudahan serta perkhidmatan di PPDK.

Untuk rekod, ketika ini terdapat 576 PPDK di seluruh negara yang memberi perkhidmatan kepada kira-kira 22,000 peserta. – KOSMO! ONLINE

The post 24 pusat pemulihan Pulau Pinang bakal dilengkapi CCTV appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved