
Kota Kinabalu: Hampir 25,000 penerima terdiri golongan asnaf, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan anak yatim piatu bakal menerima sumbangan bakul makanan serta wang tunai sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau berkata sumbangan berkenaan adalah kesinambungan daripada Program Jelajah Iftar, Kongsi Rezeki tahun lalu.
“Tahun ini kita meneruskan program terbabit berikutan kita mahu masyarakat melihat bantuan diberikan seperti tahun lalu dilaksanakan berterusan bagi tahun ini.
“Jelajah Iftar 2025 adalah berjalan seiring dengan kerjasama daripada Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat (UPPM) Negeri dan meliputi 25 lokasi di seluruh
Sabah bermula di Kudat hari ini (4 Mac) dan berakhir di Papar pada 26 Mac depan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media berkaitan Pelancaran Jelajah Iftar 2025 pada Isnin.
Menurut Dexter, seramai 850 kanak-kanak juga akan diraikan dengan membeli-belah pakaian raya di pasaraya.
Dexter berkata program berkenaan akan berlangsung pada 4 Mac di lokasi pertama di Kudat dan berakhir pada 25 Mac di Tawau.
“Usaha ini dilihat bukan sahaja mampu membawa keriangan kepada kanak- kanak selain mengurangkan beban ibu bapa atau penjaga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya secara peribadi juga ingin mengajak lebih ramai pengusaha, pihak syarikat swasta dan orang persendirian untuk sama-sama membantu masyarakat kita yang memerlukan,” katanya.
Mengulas lanjut, Dexter memaklumkan menerusi siri jelajah sama juga pihaknya turut membuat perkongsian berkaitan peluang pekerjaan bagi anak tempatan bersama syarikatnya.
“Kita terbuka dan sedia memberi peluang kepada mereka yang berminat mahu bekerja serta menimba pengalaman sama ada bekerja sementara atau kerja tetap.
“Saya melihat ini antara usaha dan tanggungjawab yang perlu dilakukan bagi membantu anak jati Sabah selain membangunkan ekonomi ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah UPPM Negeri, Datuk Awang Kadin Tang berkata jelajah kali kedua berkenaan merupakan usaha dan program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan oleh KTC.
