
MADRID – Seramai 25,000 penunjuk perasaan berarak di pusat bandar Sepanyol kelmarin bagi menuntut jaminan perlindungan terhadap skim pencen negara, iaitu isu panas yang memanaskan suhu politik menjelang pilihan raya parlimen bulan depan.
Perarakan aman itu diadakan di tengah-tengah perdebatan sengit mengenai kos sara hidup serta kemampanan dana persaraan di Sepanyol.
Perdana Menteri, Pedro Sanchez daripada parti Sosialis mendakwa blok sayap kanan merancang untuk melemahkan mekanisme kenaikan bayaran pencen yang diselaraskan dengan kadar inflasi.
Bantahan tersebut menyaksikan orang ramai berarak dari stesen kereta api Atocha menghala ke laluan beli-belah tersohor, Gran Via.
Kebanyakan peserta turut membawa sepanduk tertera mesej ‘lindungi dan jamin pencen kami’.
Seorang penjawat awam dari Seville, Juan Fernandez, 38, menyuarakan kebimbangan bahawa masa depannya kelak terjejas sekiranya sistem persaraan berkenaan diswastakan.
“Jika diswastakan, nilainya bergantung kepada pasaran saham. Sudah tentu ada yang untung dan ada yang rugi,” tegasnya.
Isu berkenaan mula memuncak selepas ahli parlimen pembangkang daripada Popular Party (PP), Ester Munoz mendakwa sistem pencen sedia ada bakal ‘runtuh’ dan perlu dirombak, sekali gus mencetuskan kecaman pentadbiran kerajaan.
Bagi seorang bakal pesara, Pilar, 64, hak warga emas tidak wajar dijadikan bahan kompromi.
“Pencen tidak boleh diganggu gugat. Kita perlu pertahankan hak yang kita usahakan selama ini, bukan sekadar pencen tetapi juga kebajikan lain seperti kesihatan dan pendidikan,” katanya.
Kira-kira 6.8 juta rakyat Sepanyol kini bergantung kepada skim pencen negara dengan purata bayaran bulanan mencecah 1,576 euro (RM7,450) setakat September lalu. – AFP
The post 25,000 berarak di Madrid tuntut lindungi skim pencen appeared first on Kosmo Online.

